SELAMAT DATANG KE BLOG MY APIUM NILAM PURI

ANDA SUKA BLOG INI

Showing posts with label mpp. Show all posts
Showing posts with label mpp. Show all posts

Saturday, December 26, 2009

Jemaah Dan Bid'ah

*nukilan Ahmad Zaki bin Haris 
 
Salam kesejahteraan. Semoga naungan hidayah yang dilimpahkan Allah tidak pernah putus dan sentiasa menyirami kalian para sahabat blog. Alhamdulillah diberi kesempatan lagi untuk berkongsikan sedikit pandangan dan luahan rasa hati.

Tempoh bagi sesebuah perjuangan mengalami kemerosotan sebenarnya tidak akan dapat diukur hanya sekadar pada pandangan lahir semata-mata. Malah andai dilihat dari satu perspektif yang abstrak, mungkin sesebuah perjuangan itu pada awalnya lagi sudah mengalami gangguan lantaran keinginan dan niat yang terpesong dan tidak disalurkan pada landasan yang sebenar. Atau dalam erti kata lain mengesampingkan keutamaan dalam masyarakat islam dan mengutamakan perihal sesebuah entiti yang tidak mempunyai jaminan dalam pengakhiran hidup, walaupun mereka hanya melihat ianya dari perspektif perlembagaan atau undang-undang dunia semata. Seakan undang-undang akhirat tidak akan mereka hadapi dalam beberapa tempoh terdekat ini.

Biarkan kalian tidak memahami tutur bait kata saya ini. Mungkin setelah habis membaca baharulah kalian menyedarinya lantas memahami maksud sebenar.

Setiap individu mempunyai persamaan dalam beberapa aspek tanpa disedari oleh empunya diri sendiri sebenarnya. Dalam perihal keamanan misalnya, tiada sesiapa pun yang menginginkan keadaan yang kucar-kacir dan haru-biru. Malah seorang manusia akan memukul binatang peliharaan mereka jika ia menumpahkan makanan di lantai. Apakan lagi andai rumah mereka runtuh dihancurkan oleh tentera-tentera kejam yang hanya mengenal dentuman bom dan kerlipan percikan api sahaja.

Demikianlah pancaindera manusia yang saling berantaian antara satu sama lain. Mereka memandang orang yang sengsara dengan pandangan polos sedangkan diri mereka sendiri tidak direlakan untuk diperlakukan sedemikian rupa. Mereka tidak menginginkan perpecahan dan pertelingkahan tetapi lantaran sikap mereka sendiri yang terlalu mementingkan diri sendiri akhirnya mereka terperangkap dalam permainan ilusi mereka itu sendiri. Lantas mengadu permasalah kepada orang lain sedangkan asbabnya berpunca daripada empunya diri.

Baiklah, tidak perlulah kita memanjangkan perbincangan dengan perumpamaan yang berjela. Cukuplah andai hasrat dihati dapat diselami oleh sahabat blog sekalian. Perkara yang harus dipercepat tidak wajar dilengahkan.

Memahami konsep perjuangan islam.

Rata-rata sahabat-sahabat seperjuangan dalam Islam sekalian ternyata punya semangat yang berkobar-kobar dalam memperjuangkan kemuliaan agama Islam sebagai agama sejagat yang dijamin keselamatan dan keberkesanannya dalam pembentukan ummah, masyarakat malah negara sekalipun. Lambakan usaha yang dicetuskan oleh pelbagai jemaah dalam mengadaptasikan unsur yang mulia ini ternyata memberikan satu perkembangan yang baik dalam dunia Islam hari ini. Hal ini secara tidak langsung memberikan semangat kepada masyarakat yang memerhati seterusnya menerima kesannya yang positif, lebih-lebih lagi dalam pembentukan syahsiah yang unggul dan berintegriti.

Usaha-usaha murni yang dipergiat ini seharusnya mendapat sokongan daripada semua pihak terutamanya mereka yang mengaku telah mengimani Allah swt sebagai Rab yang Maha Esa dan Muhammad saw sebagai utusan-Nya yang mulia dan terpelihara. Mereka merupakan golongan yang menginginkan tertegaknya islam dimuka bumi Allah ini lantas mengembalikan tampuk kepimpinan khalifah yang telah lama terkubur sejak zaman keruntuhannya yang terlalu menyanyat hati angkara tangan seorang munafiq malah fasiq yang bertopengkan keadilan dan kesejahteraan sejagat di zaman Turki yang penuh dengan nostalgia tragis. Mereka ini jugalah yang mempunyai kesedaran dalam memperjuangkan kemuliaan serta ke’izzahan syariat agama yang telah dimaktubkan dalam al-quran dan dinaqalkan oleh para sahabat dalam himpunan-himpunan hadis yang terkadang dinodai oleh golongan-golongan pendusta yang dengan sengaja mencemarkan sifat siddiq Rasulullah saw dalam menyampaikan wahyu Allah swt kepada sekalian umat manusia yang menantikan suatu keajaiban dalam mengislah tamadun jahiliyyah mereka yang ternyata sesat dan fasad. Ya, mereka inilah generasi yang ditunggu-tunggu. Sebuah gerakan tajdid diperlukan saat perselisihan antara umat semakin berganda dengan peratus yang tinggi berbanding dengan zaman para tabi’in.

Inilah yang dikatakan daruriyyat. Saat ini keperluan dalam berlapang dada dalam menerima segala perkembangan dalam memartabatkan islam dalam masyarakat sangat-sangat dituntut. Persefahaman antara ahli jemaah seharusnya tidak menjadi satu permasalahan yang diperdebatkan kelak natijahnya tidak membawa kepada penghayatan islam yang sebenar malah ranting-ranting yang tumbuh semakin bercabang lantas penghujungnya sekadar menjadi penghalang laluan. Malah ianya memudaratkan yang lain, bimbang hujung rantingnya yang tajam menikam mata mereka yang melalang di perjalanan. Akhirnya buta dalam memilih jalan yang sebenar.

Nah, akhirnya sekalian jemaah buntu dalam kebenaran yang bermain di tanggapan mereka.

Elakkan segala perbincangan yang merugikan.

Memang perkara yang menimbulkan perselisihan merupakan satu perkara yang sangat-sangat menarik untuk dibincangkan. Lantaran asas yang diguna pakai merupakan sesuatu yang subjektif, maka pengolahan dalam mempertahankan pandangan tersebut ternyata sentiasa ada. Dan pengakhirannya pertelingkahan yang berjaya diraih. Perasaan dengki mendengki menjadi bahan bakar dalam memarakkan api keegoan.

Ya, ego tidak boleh dipadam tetapi boleh dikurangkan (memetik kata dari seorang sahabat saya). Andai keegoan menjadi asas perjuangan sesebuah pertubuhan, kelak tidak akan mencapai satu pandangan yang terkehadapan. Tiada sikap keterbukaan dalam menerima pandangan sesuatu pihak, sedangkan matlamat yang dijanakan sama iaitu memartabatkan sunnah, amar ma’ruf nahi mungkar, menolak bid’ah, menghancurkan khurafat dan menjadikan islam sebagai cara hidup yang syumul.

Terkadang saya sendiri hairan. Sibuknya memperkatakan perjuangan sesebuah kelompok dalam memperjuangkan islam yang tidak sama dengan pendekatan yang dilakukan oleh kelompok mereka sebagai bid’ah. Sedangkan mereka tidak sibuk pula mengatakan hukum berhukum dengan sekular sebagai bid’ah. Tidak pula berusaha memperjuangkan hukum hudud yang telah diperkenalkan oleh Rasulullah saw dalam pentadbiran baginda, padahal jelas lagikan bersuluh ianya merupakan ‘law’ yang digunapakai oleh Rasulullah saw semasa pemerintahan baginda.

Malah yang paling menghairankan, sampaikan ada yang beranggapan bahawa ahli bid’ah itu lebih berdosa berbanding mereka yang lakukan maksiat. Hujah mereka kerana ahli maksiat melakukan dosa tersebut dalam keadaan sedar dan mengetahui bahawa ianya adalah berdosa, sedangkan ahli bid’ah ini melakukan dosa dalam keadaan mereka tidak menyedarinya dan menyangka ianya adalah satu amalan yang diterima Allah, maka mereka akan terus tersesat dalam lamunan mereka tanpa berpijak pada bumi yang nyata.

Ternyata mereka terlepas pandang pada firman Allah swt yang bermaksud :

Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang-orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilan, yang kemudian mereka bertaubat dengan segera, maka mereka itulah yang diterima Allah taubatnya; dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Dan tidaklah taubat itu diterima Allah dari orang-orang yang mengerjakan kejahatan (yang) hingga apabila datang ajal kepada seseorang di antara mereka, (barulah) ia mengatakan : "Sesungguhnya saya bertaubat sekarang." Dan tidak (pula diterima taubat) orang-orang yang mati sedang mereka di dalam kekafiran. Bagi orang-orang itu telah Kami sediakan siksa yang pedih.”

Surah An-Nisa’ ayat 17 dan 18.

Bukannya saya berpandangan sebegini kerana memusuhi sesetengah pihak atau mengatakan bahawa hanya pandangan saya sahajalah yang betul dan diterima pakai atau mendapat jaminan oleh Allah swt. Tidak. Malah andai saya berprasangka sedemikian maka saya telah melanggar adab sebagai seorang penuntut ilmu. Tidak mengambil kira pandangan orang lain yang ternyata mempunyai dalil-dalil mereka yang tersendiri.

Cuma mungkin perasaan terkilan menyebabkan terkadang kita perlu juga menyuapkan cili ke dalam mulut seseorang. Semoga dengan kepedasan tersebut dia mampu meneguk air seterusnya mengakui bahawa sepanas-panas air pun mampu menghilangkan kepedasan tersebut, bukan hanya air berbatu kosong sahaja. Malah segala jenis air yang ditambah perisa oren ataupun sirap juga mampu melegakan tekak daripada kepedasan tersebut. Yang penting ianya merupakan air minuman.

Begitu jugalah perjuangan dalam memartabatkan islam. Selama mana ianya kelompok yang mendokong kecintaan terhadap islam dan merindukan zaman kegemilangan islam di zaman Rasulullah saw, maka ianya tetap akan dapat melestarikan hasrat tersebut. Andai terdapat kelompok yang tidak meyakini konsep ini dalam memperjuangkan islam, ternyata mereka terlepas pandang pada firman Allah yang bermaksud :

“Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cobaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cobaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat..”

Surah Al-Baqarah ayat 214.

Meyakini janji Allah dalam perjuangan.

Indahnya agama Allah, setelah ditimpakan pelbagai ujian, ternyata Dia akan membalasnya dengan satu titik yang sangat-sangat dirindui oleh semua umat manusia di akhir zaman, iaitu kemenangan terhadap kesejahteraan sejagat, yakni agama Islam. Agama yang akan mengembalikan segala keamanan yang telah dirobek oleh kuku-kuku yang berkulat dan menghancurkan segala kejahilan di akhir zaman sehingga akhirnya kekuatan jemaah islam ketika itu sangat tidak terperi kuatnya. Segala yang benar akan terzahir dan segala yang palsu akan tersingkap. Undang-undang manusia sudah tidak boleh menjadi pergantungan lagi. Melainkan hukum Allah yang maha agung, pencipta keajaiban segala kejadian. Takbir bergema, memantul-mantul ke segenap ruang udara. Haiwan-haiwan makin bertambah zikirnya memuji kebesaran Allah 'Azza Wa Jalla. Kegemilangan khilafah yang diimpikan menjadi kenyataan.

Di sanalah berdirinya Imam Mahdi yang dinanti!

*Ahmad Zaki adalah Timb YDP MPP Apium Nilam Puri 09/10 juga aktif dalam bidang penulisan dan mula bertatih ke alam novelis. Untuk mengenali beliau dengan lanjut bolehlah sama-sama berkunjung ke Dunia Baru cetusan beliau.

Friday, December 11, 2009

Antara Qiadi & Jundi



*Nukilan Khairiyah binti Sulong


“hanya orang yang membaca mampu merubah dunia” :- Lord Chesterfield

Mereka berkarisma kerana kuasa hendak membuat keputusan besar bergantung pada mereka. Pemimpin dilihat seorang yang matang sekiranya berjaya membuat keputusan yang bisa tepat. Setiap keputusan memberi kesan besar kepada ahli pimpinannya.

Unsurnya berdasarkan kemahiran massa yang menakjubkan dan efektif- merujuk pada tutur bicara mereka, memberi komentar terhadap apa-apa isu yang timbul, matang dalam memberikan kata putus.

Isu sokongan orang ramai dan keterampilan seorang pemimpin penting.
Sokongan daripada ahli amat penting agar setiap gagasan idea pemimpin dapat direalisasikan dengan jayanya. Akhlaknya, ibadahnya merupakan sasaran cemerlang para pengikutnya mengambil ketokohannya sebagai asas kepimpinan.

Karisma moden menekankan unsur wawasan dalam gaya kepimpinan seorang pemimpin
Wawasan yang jelas berkenaan bagaimana mereka memandu organisasi mereka bagi jangka masa yang panjang walaupun mereka sudah tidak lagi menjadi pemimpin organisasi itu.


Cerita ringkas penuh pengajaran

“saya ini presiden awak”

A: bukankah saya sudah suruh awak supaya buat seperti ini.

B: benar, tapi ianya tidak munasabah, kami berbincang tadi, jadi macam tulah jadinya.

A: ooo... awak nak kata ianya tidak munasabah, awak tahukah saya ini “Presiden”!

Semua mata tertumpu pada perbualan mereka.

B: bukankah kamu juga kami yang lantik, siapakah yang melantik seseorang itu ketua?

Moral of the story dan muhasabah diri

Ramai yang beranggapan apabila mereka dilantik ke suatu jawatan, mereka secara automatik menjadi pemimpin. Anda boleh menyohorkan jawatan Yang diPertua, Presiden, Pengarah Yang Berhormat dan lain-lain. Itu adalah simbol kepada jawatan, tetapi seseorang belum tentu menjadi pemimpin dengan adanya jawatan-jawatan itu. Kepimpinan terletak di dalam diri seseorang itu. Membina penghormatan dan kepercayaan adalah perkara yang lebih susah untuk dibina.

Ramai yang menggunapakai ucapan Saidina Abu Bakar apabila dipilih menjadi pemimpin, katanya, “aku bukanlah orang yang layak, bahkan ada orang yang lebih layak daripadaku, tetapi kamu memilihku,maka aku akan berusaha melaksanakannya mengikut kemampuanku”- tahukah anda apa maksud ucapan ini dan apakah anda sedar bila menyebutnya?

Jawatan adalah taklifan. Jawatan adalah amanah. Jawatan adalah tarbiyyah. Jawatan bukanlah suatu perkara yang ingin direbut untuk mencari nama dan kedudukan. Sekiranya jawatan itu berupa bobrok sedemikian, maka tidaklah upaya Rasululullah mencipta qudwah terbaik kepada umatnya, Salahuddin Ayubi si anak bangsawan tawadhu’ bersama empayarnya, tidaklah Muhammad Al-Fateh si anak raja menolosori teladan kepada tenteranya menakluk Constantinople, tidaklah Tariq bin Ziyad si hamba suruhan berupaya menakluk Andalusia.



*Penulis ialah Timbalan Bendahari MPP APIUM Nilam Puri sesi 09/10

Sunday, September 20, 2009

Perutusan Eidul Fitri YDP

Assalamualaikum dan Salam Syawal.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.

Alhamdulillah. Kesyukuran yang tiada batas sempadan kita rafa'kan pada Rabbul Jalil, tuhan yang mengurniakan Ramadhan dan Syawal. Syukur kerana direzekikan menghabiskan tamrin Ramadhan dan anugerah Syawal.

RAMADHAN PUSAT RAWATAN

Ramadhan persis hospital atau pusat perubatan. Seluruh hamba-Nya diwajibkan menjalani pelbagai rawatan dan terapi bagi memulihkan segala penyakit kehambaan. Setelah 30 hari kita berada dalam tahanan wad Ramadhan, adakah kita semakin sembuh? Atau umpama penyakit diabetes yang terpaksa dipoting kaki? Atau semakin nazak iman kita? Jawapannya melalui bukti istiqomah kita terhadap sujud dan tahajjud Ramadhan. Harapnya terapi Ramadhan bisa mensufikan hati kita serta memberi nafas baru buat iman kita.

TANGISAN RAMADHAN DAN KEMENANGAN SYAWAL

".......dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya (puasa) dan hendaklah kamu mengagungkan Allah di atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu , supaya kamu bersyukur." (al-Baqarah:185)

Menjadi kebiasaan bagi kita bergembira tika menyambut Eidulfitri. Dan kebanyakan kita menjadikan hari raya sebagai adat. Bukannya ibadah mahupun sunnah. Sambutlah kehadiran Syawal dengan kita menangisi terlebih dahulu pemergian Ramadhan. Moga-moga keputusan terapi Ramadhan mencapai visi utama "agar kamu bertaaqwa".

Usahlah sambutan kita bak menyambut wira yang baru dibelenggu. Jangan sesekali kita termasuk dari golongan yang yang berpesta dengam pembebasan banduan syaitan dan sekutunya.

SELAMATKAN HARI RAYA

Sambutlah lebaran dengan takbir, tahmid dan zikir-zikir pujian pada-Nya. Sambutlah seperti Rasulullah dan para mu'min menyambut kemenangan Badar. Ribuan kemaafan dari saya dan seluruh pimpinan kepada semua pensyarah dan semua warga Apium.

Salam dunia, salam semua, salam hari raya.



كل عام وانتم بخير

تقبل الله منا ومنكم



Pejuang Berjiwa Hamba;
Syis Abdul Kadir
Yang Dipertua
Majlis Perwakilan Pelajar
Akademi Pengajian Islam Uni. Malaya
Nilam Puri
http://oasislam.blogspot.com/

Saturday, September 19, 2009

SALAM AIDILFITRI UNTUK SEMUA



Assalamualaikum dan salam lebaran.
InsyaAllah seluruh umat Islam akan menyambut 1 Syawal, hari kemenangan. Kami dari Meja Editor apiumnp.blogspot mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat hari raya kepada semua pembaca dan disini disertakan beberapa ucapan dan nukilan dari pimpinan pelajar Apium Nilam Puri yang sempat ditemuramah.

"salam 1 Malaysia for all, selamat hari raya, maaf salah silap"
      -Mior Hafiz, Exco Kerohanian & Kepimpinan MPP


"Seputih hati sebersih nurani,
sesusun jari menyuci diri
 semoga ikatan terus bersemi,
salam aidilfitri tulus dari hati....Selamat Hari Raya. Maaf Zahir Batin" 
   -Maryam Abd Rashid, Timb. Exco Kebajikan MPP


"Wahai sahabatku, dikejauhan ini ingin ku sisipkan jutaan keampunan padamu agar persahabatan kita sentiasa jernih dan tenang selalu dan shabatku, sesungguhnya aidilfitri ini membuat aku kembali mengingati memori indah kita bersama,suka dan duka telah kita harungi pahit dan manis telah kita tempuhi, kita lalui semua itu dengan kejujuran, keikhlasan dan kebenaran. Dikaulah sebenarnya sahabatku yang awal dan akhir, sahabat yang sejati. Moga aidilfitri yang mulia ini mengakrabkan lagi ikatan persahabatan kita yang suci ini. Selamat Hari Raya."
  -Nurhafiza Yusof, Timb. Exco Penerangan & Perhubungan Luar MPP


"Salam Aidilfitri buat semua warga Apium NP tak kira di mana sahaja anda berada. p/s: jangan main mercun, nanti tak dapat jawab exam" -Muhammad bin Zaiunudin, Exco Penerbitan & Multimedia MPP


"hali laya sula mali,
baju laya satu loli,
 satu tawun satu kali,
wa mikin manyak silap wa vely soli...Selamat Hari Raya Aidilfitri.Maaf Zahir Batin"
    -Muhd Abdul Rashid, Bendahari Agung MPP


"Salam kesyukuran Syawal buat seluruh ummat Islam, terutamanya warga APIUM tercinta. Semoga keriangan di bulan Syawal ini tidak mengalpakan kita tentang-Nya. Maaf Zahir Batin. Salam Aidilfitri" -Nur Adilah Amiruddin, Timb. Pengerusi JKP Sukan & Rekreasi JTK


"Bunga melati di Tanjung Karang,
Hujung laman disairami suria,
 Kiriman hati dari seberang,
Tanda ingatan di hari mulia.


 Tumbuh meranti di tepi peti,
Bertenggek kenari di perdu seroja,
 Mohon mengerti pintaan hati,
Keampunan diri ikhlas dipinta.


 Tumbuh delima tegak pualam,
Melur bersepah di pinggiran nisan,
 Sengketa lama usah dipendam,
Dendam pemusnah ikatan hati.


 Buah berangan berapit delima,
Tumbuh sekaya pohon selasih,
Salam lebaran buat semua,
Moga bahagia di hari mulia. Selamat Hari Raya." -Noor Hidayah Nohd Khalek, Timb. Bendahari JTK


"Ramadhan..
Kembali mu setahun sekali,
Rahsia milik mu dicari-cari,
Lailatul Qadar mu dinanti-nanti,
Kini kau semakin jauh pergi,
Meninggalkan kesan di sanubari,
Pemergianmu pasti ditangisi,
Pun begitu,
Aidilfitri pengubat hati,
Apakah masih ada KESEMPATAN LAGI??" -Asma Anuar, Timb. Setiausaha JTK


"ana mengucapkan tahniah dan syabas atas kejayaan kalian di bulan Ramadhan, moga kalian terus istiqomah persis bulan Ramadhan, ana juga mengucapkan selamat hari  raya, maaf semuanya." -Meor Farid Asyradi, Pengerusi JKP Sukan & Rekreasi JTK


"Sebening air wudhui sesuci al-Quran, semerdu alunan zikir, seindah solat lima waktu, setenang hati yang tiada dendam dan benci,andai tanganku tidak sempat berjabat, jika muka tidak sempat bertatap, bukalah pintu kemaafan untukku, SALAM RAMADHAN MUBARAK. semoga dilimpahi rahmat dan hidayah Allah. SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI MAAF ZAHIR BATIN"
-aku hamba aku khalifah, Siti Faridah Ahmad, TYDP MPP


"Salam keberkatan syawal untuk seluruh umat Islam khususnya warga Apium, pensyarah-pensyarah, aktivis mahasiswa dan adik-beradik mahasiswa seperjuangan. Moga ketibaan Syawal ini disambut dengan tangisan Ramadhan. minal eidi wal fa'ezin. Maaf zahir batin."
-Pejuang Berjiwa Hamba, Syis Abdul Kadir, YDP MPP


SALAM AIDILFITRI 
DARI MEJA EDITOR apiumnp.blogspot 
MAAF ZAHIR BATIN
 

Tuesday, August 18, 2009

Aspirasi YDP


Assalamualaikum dan salam perpaduan.

Alhamdulillah. Kesyukuran secara mutlaknya kita angkatkan pada yang paling layak dan berhak, Allah Yang Maha Menyatukan. Selawat serta salam buat Junjungan Mulia penghulu bumi dan syurga, Muhammad Rasulullah shallallahu alaihi wasallam. Seterusnya para sahabat, salafussholeh dan seluruh kader dakwah yang mewakafkan diri mereka pada Islam hingga Hari Akhirat.

Sahabat-sahabat pewaris Islam,

“Ilmu Punca Kemajuan.” Gagasan mulia yang dicanangkan Universiti Malaya lebih satu abad lalu dan kini tetap relevan. Kita lihat pula sejarah 1430 tahun lampau, kalam pertama dari langit ialah “iqra’” yakni “bacalah”. Terbukti, yang pertama lagi utama ialah pemerkasaan ilmu. Gagasan keilmuan adalah satu idealisme yang amat berat untuk dijunjung serta dilaksanakan namun tidak dapat tidak ia tetap terpundak di bahu kita semua.

“wahai orang-orang beriman, apabila dikatakan kepadamu; berilah kelapangan pada majlis-majlis, maka berilah kelapangan, nescaya Allah akan memberi kelapangan kepadamu. Dan apabila dikatakan; berdirilah kamu maka berdirilah, nescaya Allah akan mengangkat darjat orang beriman di antara kamu dan darjat orang yang diberi ilmu beberapa darjat. Dan Allah Maha Teliti apa yang kamu kerjakan.” (al-Mujadilah:11)


Sahabatku Mahasiswa,

Dunia mahasiswa bukan lagi dunia “budak-budak” bahkan sejarah membuktikan perjuangan mahasiswa sentiasa memberi kesan terbaik pada reformasi ummah. Ayuh kita imbau sejarah kejayaan Revolusi Iran menumbangkan kebobrokan regim Syah Iran, ianya telah didokong dan disokong oleh golongan mahasiswa yang menjunjung keadilan. Menjenguk pula cetusan minda mahasiswa di Burma. Kesedaran dan keberanian mahasiswa telah menubuhkan Perstuan Pemuda Buddha (YBMA) dan menjadikan kampus nadi pergerakan mereka. Idealisme menentang penjajah mereka telah menggerunkan penjajah British dan memberi impak maksimum terhadap kesedaran rakyat. Nun di Afghanistan kita bisa menjadikan mahasiswa Universiti Kabul sebagai contoh. Di sana lahir Gulbuddin Hekmatyar iaitu seorang pemimpin kampus yang bisa meniupkan ruh jihad kepada seluruh teman kuliahnya. Kesannya sepuluh tahun perjuangan itu telah memaksa Regim Russia mengangkat bendera putih.

Nah, itulah sebenarnya mahasiswa. Apa yang dicorakkan mereka akan menjadi gambaran sesebuah negara pada masa hadapan. Ayuh sahabat, kita sudah boleh mula berkhayal untuk masa hadapan negara. Kitalah golongan pewaris dan generasi pelapis yang akan memakmurkan bumi dengan lunas-lunas Islam. Tapi harus diingat dunia mahasiswa bukan hanya di dalam kampus atau bilik kuliah semata-mata.

“Pemimpin tidak boleh dicetak. Pemimpin tidak lahir di bilik kuliah tetapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas kancah, muncul di tengah-tengah pengumpulan masalah, menonjol di kalangan rakan seangkatan lalu diterima dan didokong oleh umat.”-Bapa Natsir


Sahabat seangkatan,

Binalah dimensi pemikiran yang lebih mencakah, hapuskan kejumudan yang mencengkam minda, anjakan paradigma dan hapuskan dogma-dogma yang beku lagi kaku, bersedialah untuk menerima tanggungjawab ummah.

“Tanggungjawab mahasiswa bukan hanya di bilik kuliah. Mahasiswa sebenar ialah mereka yang mampu mengesat air mata rakyat, menyapu luka masyarakat dan mendengar suara hati mereka..” –Sdr Mohd Dzul Khari Mohd Noor


Namun segalanya berpasak kukuh pada tunjang keilmuan di dada. Analogi tepat bagi mereka yang tidak berilmu umpama si buta tak bertongkat. Cendekiawan menyebut abad ke-21 adalah zaman kebangkitan Islam. Kita yang bakal mendokong arus kebangkitan ini perlulah mempersiapkan diri dengan pelbagai keilmuan bagi mendepani massa. Harus diingat bahawa Islam itu tertegak dengan hujah.

Mahasiswa pendokong keadilan,

Sudah tiba masanya kita hentikan persengketaan, hapuskan segala kekeliruan, perkasakan kembali kesatuan Islam. Buangkan segala yang remeh-temeh, pergi jahanamlah segala kemaksiatan. Kembalilah pada Tuhan, eratkan hubungan dengan-Nya. Bersatu demi Islam.

“Sesungguhnya umat Islam mencapai kemenangan kerana musuh-musuh mereka melakukan maksiat kepada Allah. Jika tidak kerana kelebihan ini, nescaya orang-orang Islam tidak akan mempunyai kekuatan kerana bilangan dan kelengkapan mereka. Jika kita sama sahaja dengan mereka dari segi melakukan maksiat, mereka akan mempunyai kekuatan yang lebih ke atas mereka.” –Saydina Umar al-Khattab



Faqir ilaLlah;
Syis bin Abdul Kadir
Yang di Pertua
Majlis Perwakilan Pelajar
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya
Nilam Puri
hamz_5415@yahoo.com
http://oasislam.blogspot.com

Malam al-Quds Sedunia



.Allah berfirman:"Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya), melainkan dengan suatu (alasan) yang benar[853]. Dan barangsiapa dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah memberi kekuasaan[854] kepada ahli warisnya, tetapi janganlah ahli waris itu melampaui batas dalam membunuh. Sesungguhnya ia adalah orang yang mendapat pertolongan" (surah Al-israa' Ayat 33)

kekajaman zionis laknatullah tidak dapat dinafikan lagi..sungguh kejam kerana sanggup membunuh dan memusnahkan manusia hanya semata-semata untuk melepaskan kepuasan..subhanallah..inilah umat akhir zaman..sungguh banyak perbezaan 10 minit kita di malaysia dan negara-negara yang aman berbanding 10 minit penduduk palestin..kita masih mampu untuk ketawa,pergi bekerja dan masih ade sesetengah di kalangan kita yang masih sempat melakukan maksiat, perjudian dan dan sebagainye namun seorang anak palestin hanya mampu untuk ketawa untuk beberapa saat dan menangis untuk beberapa minit hanya kerana telah kehilangan ayah dan ibunya dalam masa 10 minit..dalam beberapa minit umat islam hancur oleh kekajaman zionis laknatullah..

masih ade kah dikalangan anak adam seperti salahuddin Alayubi yang mampu menawan dua pertiga dunia?? masih adakah anak adam yang seperti Saad bin Abi Waqqas seorang muslim yang berani didalam perang Uhud sehingga mampu menjadi panah daripada panah-panah islam, masih adakah anak nabi adam seperti khalid alwalid yang menjadi saifullah??tepuk dada tanyalah iman kita..

namun,masih ade sesetengah pihak yang sedar untuk menghulurkan sumbangan..syukran a'al kulli hal kepada sahabat-sahabat nilam puri yang menyumbangkan derma kepada bumi palestin untuk mengurangkan beban mereka sempena menyambut bulan ramadhan yang akan datang..

abu Bakar as-siddiq berkata "sebuah teriakan la-qa'qa' di tengah-tengah pasukan perang adalah lebih baik daripada 1000 orang laki-laki"

program Malam Al-quds ni di anjurkan sendiri oleh majmuah 3 semester 3 sempena dalam usaha untuk mengutip sumbangan dan derma dari warga APIUM nilam puri untuk di hantar kepada penduduk bumi palestin..majmuah 3 mengadakan sedikit tayangan dan mengedarkan tabung derma kepada semua pelajar..alhamdulillah kutipan pada hari pertama memberangsangkan..dan program Al-quds ni akan berlangsung sampai awal ramadhan..
semoga sedikit nilai yang kita derma akan di gandakan oleh Allah diakhirat kelak..

Friday, July 31, 2009

H1N1 : Pandang Sisi YDP

Assalamualaikum dan salam kasih sayang.

H1N1 gemparkan Apium. Bagai semalam kita terdengar berita yang virus ini bermula di Mexico. Namun Maha Agung Allah mencapahkan penularan zarah yang sekelumit itu hingga seantero dunia bising membincangkan perihal 'sang babi'. Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un.

"adakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya berkata: kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji." (al-ankabut:2)

H1N1 satu mehnah dan ujian buat mereka yang mencanang dirinya beriman. Sejauh mana kita beriman? Ayuh kita jadikan medan kuarantin sebagai indikator semantap mana keimanan dan ketqwaan kita.

"dan kami turunkan al-Quran yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman, sedangkan bagi orang zalim al-Quran itu hanya menambah kerugian." (al-isra':82)

Itulah ciri-ciri mereka yang bergelar mu'min. Setiap keadaan dan situasi tidak melenturkan prinsipnya terhadap Islam. Tegar meletakkan al-Quran sebagai jalan keluar pada setiap tribulasi dan masalah, panduan kala kesesatan, syifa' tika kelemahan dan penghibur saat kesunyian. Mereka yang beriman melihat hikmah atau ibrah terlebih dahulu dari terus menyesali takdir. Beginikah kita? Namun mereka yang tidak beriman terus berkiblatkan nafsu dalam semua hal bahkan merungut serta putus asa dengan ujian. Mereka tidak melihat kesenangan dan kesusahan yang dianugerahkan dengan kaca mata kesyukuran. Itulah sifat mereka yang tidak beriman lagi zalim. Oh, jangan keliru. Mereka yang beriman itu bukan hanya yang baca al-Quran. Tapi keseluruhan kehidupannya dicedok dari wahyu. Membaca dan menterjemah dalam kehidupan seharian. Syukur bila mendapat kemenangan, ujian yang menjenguk kesabaran menjadi benteng. Berakhlak dengan akhlak Islam. Ibadah dan pergantungan semakin meningkat semasa diuji Tuhan. Namun sebaliknya pula mereka yang zalim. Kita golongan mana?

H1N1 satu bala? Saya tidak mahu menghukum. Ujian itu dari Allah. ibtila' juga kurniaan-Nya.

"yang demikian itu kerana mereka (orang kafir) membenci apa yang diturunkan Allah (al-Quran) maka Allah menghapuskan segala amalan mereka. Maka apakah mereka tidak pernah melakukan perjalanan di bumi, sehingga dapat memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang sebelum mereka. Allah telah membinasakan mereka, dan bagi orang-orang yang ingkar akan menerima nasib yang sama." (muhammad:9-10)

Nyata. Amaran bagi mereka yang ingkar dan derhaka supaya mereka mengambil istifadhah dari kisah-kisah umat terdahulu. Kita imbau sejarah umat dahulu yang dilaknat Allah. Bagaimana Allah membayar kekufuran kaum A'ad, Thamud dan seumpamanya. Harus diingat bahawa bala itu pelbagai, bencana alam, tersebarnya wabak berjangkit dan seumpamanya. Segala bentuk kemurkaan Allah ini adalah ditempah oleh manusia sendiri, berpunca dari tangan kita yang kotor.

"telah nyata kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia; Allah menghendaki mereka merasakan sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)." (ar-Rum:41)

"dan jika kami hendak membinasakan sesuatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negari itu mentaati Allah, tetapi bila mereka melakukan kederhakaan di dalam negeri itu, maka sepantasnya berlakulah terhadapnya perkataan (hukuman Kami) kemudian kami binasakan mereka sama sekali" (al-Isra':16)

Sahabat yang dikasihi,

Apa yang ingin saya sampaikan di sini adalah sedikit peringatan untuk bersama. Musibah H1N1 ini satu teguran dari Allah buat kita yang alpa dan lalai supaya kembali kepada hakikat ketuhanan dan mengembalikan status 'hamba' itu pada diri kita secara total. Moga tarbiyyah secara langsung ini bisa melunakkan keegoan kita serta kembali mendekatkan diri pada Azza Wa Jalla yang Maha Pengampun. Ayuh sahabat, bersama kita koreksi diri, muhasabah hati sekerap mungkin. Akuilah bahawa kita telah bersangatan dalam urusan kita hingga mengenepikan Allah. Terimalah ujian ini dengan senyum kesabaran dan air mata keinsafan. Marilah sama-sama kita perkasakan kembali ibadah dan munajat pada-Nya.

Tidak lupa juga supaya sahabat-sahabat mengambil berat tentang kesihatan dan keselamatan diri. Sentiasalah patuhi arahan yang telah dikeluarkan pihak berwajib. Yang paling penting arahan dari langit. Moga kita terus diberkati dan bumi Nilam Puri ini tetap dilindungi dari segala bala bencana. Terima kasih Tuhan kerana masih menyayangi kami yang hina ini.

"Wahai tuhan, kami telah menzalimi diri kami sendiri, sekiranya Engkau tidak mengampunkan dan merahmati kami, jadilah kami golongan yang rugi."

Musibah itu mehnah,mehnah itu tarbiyyah, tarbiyyah itu susah, susah itu perlu pada jiwa yang tabah.


Faqir ilaLlah;

Syis bin Abdul Kadir,
Yang di Pertua
Majlis Perwakilan Pelajar
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya
Nilam Puri.
http://oasislam.blogspot.com

Wednesday, April 8, 2009

Ucapan Sulung YDP

الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وصحبه اجمعين.

Alhamdulillah, kesyukuran yang tiada batas kita panjatkan kepada Allah s.w.t. kerana terus mengurniakan nikmat iman dan Islam yang membolehkan kita berkumpul dalam satu majlis yang berkat ini. Selawat serta salam yang berterusan buat idola kepimpinan agung Rasulullah s.a.w. yang membawa fenomena dakwah dan tarbiah menyuburkan bumi jahiliyyah. Seterusnya para sahabat, tabi’in serta seluruh pejuang Islam sepanjang zaman.

Jutaan terima kasih juga saya ucapkan buat pihak pentadbiran, pensyarah-pensyarah serta sahabat-sahabat mantan yang memberi kepercayaan kepada saya dan sahabat-sahabat untuk memegang tampuk pimpinan MPP JTK 09/10. Tahniah dan selamat berjuang buat sahabat-sahabat barisan pimpinan sekalian.

Pada malam ini saya mencipta sejarah peribadi kerana dapat berdiri di podium ini buat pertama kalinya. Bonda Rafeah Salem pernah berdiri di podium ini, ayahanda Azra’e juga pernah menggunakan pentas ini. Dari pentas ini jugalah lahirnya manusia-manusia pencinta agama dan kebenaran dan saya berjanji, makhluk yang berdiri di pentas ini sekarang akan terus mengorak langkah dan mencipta sejarahnya sendiri.

Sahabat-sahabat mahasiswa yang disegani,

Mahasiswa Islam laksana golongan ghuraba’, golongan yang aneh. Dalam kesibukan dunia golongan ini masih lagi mendalami ilmu-ilmu agama. Tika masyarakat leka tanpa panduan mereka tetap mendaulatkan al-Quran. Saat agama diperlekeh mereka yang bangun dan lantang mempertahankan sunnah Rasulullah. Mahasiswa Islam adalah satu nama yang gah dan hebat. Namun hakikatnya sekarang hanya gah pada namanya sahaja. Mahasiswa Islam kini semakin tumpul senjata keilmuannya dan semakin ketinggalan dalam mendepani massa. Hakikat mahasiswa Islam kini hanya pada ilmu yang ingin dijawabnya ketika peperiksaan sahaja. Bagaimana pula akhlak mereka? Penghayatan mereka terhadap Islam? Tepuk dada tanya iman.

Golongan ghuraba’ yang intelek,

Jika tahun 60-an, saudara Anwar Ibrahim menjadi ikon mahasiswa pada ketika itu, namun siapa pula ikon mahasiswa pada abad ini? Bangkitlah wahai mahasiswa Islam mendada globalisasi dan membimbing masyarakat dengan keilmuan dan akhlak islam.

Sidang muktamar yang budiman,

Saya mewakili barisan pimpinan sesi 09/10 berjanji akan meneruskan segala gerak kerja dengan baik serta akan melakukan reformasi dalam kepimpinan demi kebaikan bersama. Sedarlah sahabat-sahabat bahawa apa yang dipundakkan pada kita ini bukan kerja main-main dan semestinya memerlukan kepada komitmen yang mendalam dan berterusan. Mana mungkin pemimpin itu akan dihormati jika akhlak tidak terjaga. Kepimpinannya akan diperlekeh jika tahap keilmuan masih tipis. Pangkat yang diberi bukan untuk dibangga. Jawatan yang diamanahkan ini adalah untuk dilaksanakan demi agama. Namun warga mahasiswa sekalian,pada zaman ketiadaan nabi dan rasul ini, menjadi kewajipan bagi kita untuk menyambung risalah perjuangan baginda. amar ma’ruf nahi munkar itu bukan hanya terbeban dibahu pemimpin semata-mata. Kerja-kerja memakmurkan alam ini tidak sekadar tugas MPP JTK. Tetapi haruslah ada kesedaran dalam jiwa kita sekalian bahawa kita diciptakan bukan sekadar untuk berseronok. Kita dipertanggungjawabkan untuk mendaulatkan Islam dan menjulang al-Quran dan sunnah. Ingatlah bahawa kita semua akan dipersoalkan tentang amanah tersebut.

Saff pimpinan pencorak perubahan,

Ayuhlah kita sama-sama berganding bahu mengorak langkah mencorak masa depan APIUM NP yang lebih gemilang. Bersamalah kita membina solidariti pemikiran dan gerak kerja demi merealisasikan bumi tarbiah ini terus terpelihara. Janganlah kita menjadikan alasan masa yang terhad sebagai penghalang untuk menyempurnakan tanggungjawab ini. Ingatlah kembali bahawa Khalifah Umar Abdul Aziz r.a. hanya menerajui kepimpinan kerajaan Islam hanya dalam masa tiga puluh tahun. Namun dalam masa yang singkat itu beliau mampu melakukan reformasi dalam sistem pemerintahan Islam. Pensyarah-pensyarah dan sahabat sekalian, ingatkanlah kami jika kami terleka dan berilah tunjuk ajar dan kritikan kepada kami . khalifah Umar al-Khattab pernah berkata apabila dikritik oleh rakyatnya “tidak ada kebaikakan apabila kamu tidak mahu menegur dan tidak ada kebaikan jika para pemimpin tidak mahu mendengarnya.” Ya, pemimpin itu mampu memimpin dan sedia dipimpin.

Akhir kata saya menyeru seluruh warga APIUM NP untuk bangkit bersatu bersama saya demi kegemilangan Islam.



Faqir ilaLlah;
Syis bin Abdul Kadir
Yang di Pertua
Majlis Perwakilan Pelajar
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya
Nilam Puri
hamz_5415@yahoo.com
http://oasislam.blogspot.com
Home

Pages

al-Wakt

FOLLOWERS

ABOUT APIUM

My Photo
NILAM PURI, KOTA BHARU, Malaysia

DARI MEJA EDITOR

Meja Editor apiumnp.blogspot mengalu-alukan kepada pembaca untuk menghantar artikel atau sebarang berita untuk disiarkan di laman ini. Sebarang cadangan, penambahbaikan dan artikel bolehlah dihantar ke mppumnp@gmail.com.

Terima Kasih.

SURAT MENYURAT

AKADEMI PENGAJIAN ISLAM UNIVERSITI MALAYA NILAM PURI , 16010 KOTA BHARU ,
KELANTAN DARUL NAIM
http://apiumnp.um.edu.my
email : nilampuri@um.edu.my
tel : 09-7126508 begin_of_the_skype_highlighting 09-7126508 end_of_the_skype_highlighting
fax : 09-7126580

MISI APIUM

BERUSAHA UNTUK MENJADI PUSAT PENGAJIAN TINGGI ISLAM KONTEMPORARI CEMERLANG DI NEGARA DAN SERANTAU,BERGIAT DALAM PENYELIDIKAN , PENGAJARAN DAN PERUNDINGAN.

VISI APIUM

UNTUK MEMAJUKAN BIDANG PENGAJIAN ISLAM BERASASKAN TRADISI KEILMUAN ISLAM
DAN KAEDAH MODEN YANG SAINTIFIK
MELALUI PENYELIDIKAN DAN PENDIDIKAN
BERKUALITI UNTUK NEGARA
DAN KEMANUSIAAN.

DISKUSI INTELEK

POPULAR POST

 

LABELS

PENGUNJUNG

Labels

 

Another Templates

Templates by Nano Yulianto | CSS3 by David Walsh | Powered by {N}Code & Blogger