SELAMAT DATANG KE BLOG MY APIUM NILAM PURI

ANDA SUKA BLOG INI

Wednesday, August 26, 2009

Surat Terbuka Untuk PM

BANTAHANAN TERHADAP KONSERT
MICHEAL LEARN TO ROCK (MLTR)
- ETERNITY TOUR 2009 : LIVE IN MALAYSIA
PADA 5 SEPTEMBER 2009
DI ARENA OF STARS, GENTING HIGHLAND.


Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia.

Pertama dan utamanya, sama-sama kita panjatkan kesyukuran yang mutlak kepada Allah Taala yang memberi peluang kepada kita untuk sama-sama membincangkan satu isu yang membawa kepada kepentingan bersama.

Saya mewakili sebilangan kecil golongan mahasiswa dan rakyat menyatakan pendirian bahawa kami sekali-kali tidak bersetuju dengan penganjuran konsert MLTR yang akan diadakan seperti yang Dato' Sri sedia maklum.

Dato' Sri,

Adalah tiada daya saya yang marhein ini untuk menentang kepimpinan Dato' Sri dan tujuan surat ini ditulis juga bukan untuk menentang atau menberontak. Namun sebagai seorang rakyat saya merasa terpanggil untuk membawa suara rakyat ke meja Perdana Menteri yang diberi kuasa.Bantahan ini dibuat bukan kerana membenci batang tubuh Dato' Sri serta seluruh jemaah menteri tetapi bersebab.

Sebagai rakyat saya menyatakan pendirian untuk membantah konsert tersebut kerana:

  1. Tidak menghormati bulan Ramadhan al-Mubarak. Seperti yang Dato' Sri sedia maklum bahawa Bulan Ramadhan adalah anugerah Allah kepada seluruh ummat Islam. Ianya dikira mencemar kesuciaan bulan Ramadhan dan tidak mensyukuri nikmat Ramadhan dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah seperti berterawikh, tadarrus dan seumpamanya.
  2. Tidak menepati syariat Islam. Saya yakin bahawa Dato' Sri sedia arif akan hal ini. Islam tidak melarang ummatnya untuk berhibur tetapi perlu kena pada salurannya. Tiada pergaulan bebas dan muzik-muzik yang melalaikan. Jadi, hal ini bercanggah dengan perlembagaan negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi negara.
  3. Bercanggah dengan tatasusila dan budaya ketimuran. Semua mengetehui dan menghormati bahawa masyarakat timur terutamanya orang Melayu sangat menitikberatkan kesopanan dan tatasusila. Penganjuran konsert seperti ini kebiasaannya akan membawa kepada keruntuhan moral rakyat Malaysia yang Dato' Sri kasihi terutamanya para remaja.
  4. Tidak menghormati sambutan bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia. Seperti yang disepakati bahawa sambutan kemerdekaan tahun ini tidak akan dicemari dengan hiburan dan Dato' Sri sendiri menjanjikan sambutan tahun ini adalah berlainan kerana menghormati kemuliaan Ramadhan.
  5. Tidak bertepatan dengan slogan "rakyat didahulukan pencapaian diutamakan". Dalam memenuhi kehendak rakyat Dato' Sri haruslah melihat dari segenap aspek terutamanya dalam hal-hal yang sensitif dan kebajikan. Jika konsert seperti menjadi kebiasaan ianya akan membantut hasrat Dato' Sri untuk meningkatkan pencapaian rakyat dan negara.
Pemimpin yang bijak membuat keputusan,

Tiadalah gembira di hati rakyat jelata jika permintaannya didengar dan permohonannya diperkenan sang pemerintah. Saya pasti Dato' Sri mampu membuat keputusan yang bijak dengan mengambil kira kebajikan dan pembangunan jiwa rakyat terutamanya para remaja. Moga kuasa yang diberikan dimanfaatkan untuk membuat rakyat tersenyum dan bukan hanya mengejar pebangunan metarial semata-mata.

Saya dengan ini mewakili golongan marhein juga membawa suara mahasiswa bertegas dan tegar dengan pendirian kami. Moga idealisme Dato' Sri tidak menjadi kenyataan dengan mendahului suara rakyat.

Diharap keputusan Dato' Sri mampu membuat keputusan yang bisa membuat rakyat tersenyum, yang membenci akan menyokong dan yang menyokong terus mendokong.

Salam Kemuliaan Ramadhan.


Faqir ilaLlah;
Syis bin Abdul Kadir
Yang di Pertua
Majlis Perwakilan Pelajar
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya
Nilam Puri
hamz_5415@yahoo.com
http://oasislam.blogspot.com

Friday, August 21, 2009

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan

Bulan Sya’ban, bulan Rasullullah saw hampir melabuhkan tirainya menandakan menjelangnya bulan Ramadhan. Allah swt menurunkan bulan yang penuh rahmat, barakah, dan keampunan ini sebagai hadiah khusus untuk umat nabi Muhammad saw. Bulan Ramadhan dilimpahi dengan keistimewaan yang tidak terdapat di bulan yang lain seperti turunnya Al-Quran sebagai petunjuk untuk orang-orang yang beriman, malam yang lebih baik dari seribu bulan iaitu iaitu “Lailatul Qadar” yang dinanti-nantikan oleh mereka yang beramal soleh dan syaitan-syaitan juga dibelenggu.
Sesiapa sahaja yang berpuasa pada bulan Ramadhan kerana keimanannya, iaitu hanya mengharapkan redha Allah swt, akan diampunkan atasnya dosa-dosa yang lalu seumpama dia baru dilahirkan dari rahim ibunya. Allah swt melipatgandakan pahala amalan sunat bersamaan dengan amalan wajib, dan pahala amalan wajib sehingga tujuh ratus kali ganda. Bulan Ramadhan merupakan bulan kesabaran, bulan jihad, dan bulan kemenangan bagi umat Islam. Bulan Ramadlan menyaksikan Allah swt memberikan pertolongannya kepada kaum muslimin ke atas kemenangan dalam pembebasan kota Mekah (fathul Makkah), perang Badar, penaklukan Andalusia (Sepanyol dan Portugal) dan banyak lagi.
Bukan hanya itu, bulan Ramadhan merupakan bulan membaca Al-Quran, bulan mengeluarkan zakat fitrah, bulan memakmurkan masjid, bulan taubat kepada Allah, bulan islah sesama kaum muslim, bulan silaturrahim, bulan menolong mereka yang memerlukan, bulan menjaga lisan dan perbuatan, bulan untuk memperbaharui dan mengukuhkan iman, serta bulan untuk menyucikan hati dan pemikiran. Itulah bulan Ramadlan. Bulan yang setiap detik daripadanya merupakan kemuliaan dan keutamaan.

Namun, terdapat suatu hikmah yang jarang disedari oleh kaum muslimin, iaitu tuntutan untuk kembalinya kaum muslim menjadi ummat yang satu (ummatan wahidah), berpegang taguh kepada Al-Quran sebagai tali Allah Rabbul ‘Alamin, penerapan seluruh hukum Allah swt, serta mengembangkan risalah Islam untuk mengeluarkan manusia dari kegelapan jahiliyyah kuno mahupun moden untuk menuju cahaya Islam.
Allah swt mengaitkan puasa bulan Ramadlan dengan ketaqwaan seperti firmanNya dalam surah Al Baqarah, ayat 183 : “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.”
Allah swt menegaskan bahawa: “Dan barangsiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, takut kepada Allah, dan bertaqwa kepada-Nya, maka mereka adalah orang-orang yang mendapat kemenangan” (QS. An Nur [24] : 52).
Berlandaskan hal ini, Imam Al- Ghazali dalam kitabnya Minhajul ‘Abidin menyebutkan bahawa dengan adanya taqwa dalam diri, setiap muslim memiliki perasaan sangat takut kepada Allah swt, hanya ber¬bakti dan tunduk kepada-Nya, serta membersihkan hati dan perbuatan dari segala dosa.
Taqwa bukanlah sekadar pengakuan semata-mata. Sebaliknya, taqwa adalah manifestasi lisan, hati, dan perbuat-an. Allah swt memerintahkan kita agar mengikuti seluruh ajaran yang dibawa Rasulullah saw dan mencegah diri dari larangan yang disampaikan oleh Rasulullah saw. Allah swt berfirman dalam surat Al Hasyr [59] ayat 7 : “Ambillah apa saja yang dibawa oleh Rasulullah SAW kepada kamu. Dan tinggalkanlah apa saja yang dilarangnya kepada kamu; dan bertaqwalah kepada Allah.”
Jadi taqwa merupakan ketaatan total terhadap semua hukum Islam tanpa pengecualian yang diwahyukan kepada Rasulullah saw. Berkaitan dengan persoalan ini Allah swt berfirman :
“Wahai orang-orang yang beriman, masuk-lah kalian semua ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu. Tetapi, jika kamu menyimpang (dari jalan Allah) sesudah datang kebenaran kepadamu, maka ketahuilah, bahawasanya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana” (QS. Al Baqarah [2] : 208 - 209).
Ibnu Katsir menjelaskan bahawa sebahagian orang-orang Yahudi yang memeluk Islam menyangka keimanan mereka tidak tercemar sekalipun mereka tetap meyakini sebahagian daripada kitab Taurat. Namun, Allah swt menjelaskan bahawa masuknya mereka ke dalam Islam mewajibkan mereka beriman kepada seluruh ajaran Islam (Al-Quran). Apabila seseorang itu tidak beriman, bererti bahawa dia telah mengikut jejak langkah syaitan yang sebenarnya merupakan musuhnya yang nyata. Inilah asbabul nuzul ayat 208 dan 209 dari surah Al Baqarah tadi kepada Rasulullah saw. Dengan kata lain, ayat ini menyatakan dengan jelas bahawasanya Allah swt memerintahkan kepada kaum muslimin yang mengimani Islam agar membuktikannya dengan mengambil seluruh ajaran dan syari’at Islam, melakukan semua perintah dan meninggalkan apa jua yang dilarang dengan sekuat tenaga tanpa ragu-ragu.
Bulan Ramadhan adalah simbol kesatuan umat Islam. Timbul satu persoalan! Mengapakan ada perbezaan penetapan awal ramadhan dan syawal bagi di negara-negara umat Islam? Agama nasrani walaupun majoroti penganut mereka tidak mengamalkan ajaran kitab bible mereka, tetapi mereka menyambut sambutan Krismas (Hari Natal) serentak! Bagaimana umat Islam mahu bersatu me-lawan penindasan kafir laknatullah jika isu yang kecil ini pun gagal diselesaikan?



Islam memang ada penyelesaian terhadap masalah ini. Penetapan awal dan akhir Ramadhan adalah berdasarkan rukyah (pemerhatian menggunakan mata secara langsung), bukanlah melalui hisab (pengiraan). Dengan kata lain, penetapan hilal (anak bulan) wajib bersandarkan pada kesaksian seorang muslim yang adil yang telah menyaksikan bulan secara langsung, bukan berdasarkan perhitungan. Kesaksian pula cukup dilakukan oleh seorang yang adil. Ini didasarkan pada riwayat berikut;

“Telah diriwayatkan dari Ibnu Abbas, ia berkata: Ada seorang Arab mendatangi Rasulullah saw dan berkata: ‘Aku telah melihat bulan (hilal), iaitu bulan Ramadhan.’ Kemudian Rasulullah SAW bertanya: ‘Apakah engkau telah bersaksi bahawa tidak ada tuhan selain Allah?’ Lelaki itu menjawab: ‘Benar’. Rasulullah bertanya lagi: ‘Apakah engkau bersaksi bahawa Muhammad itu Rasulullah?’ Lelaki itu menjawab: ‘Benar’. Rasulullah Saw bersabda: ‘Wahai Bilal, berdirilah dan kumandangkan azan, dan beritahu mereka (kaum Muslim) agar berpuasa pada esok hari.”
Rasulullah Saw telah bersabda kepada para saksi : “Jika kamu melihatnya seperti kamu melihat matahari, maka bersaksilah. (Namun) jika tidak, maka tinggalkanlah.” (Ahmad ad-Da’ur, al-Ahkaam al-Bayyinaat).

Pada zaman yang serba moden dengan kecanggihan teknologi pencerapan hilal dan komunikasi antara negara-negara umat Islam, sepatutnya tiada sebab untuk kita tidak boleh bersatu menyambut hari yang penuh barakah ini bersama kecuali wujudnya faktor-faktor kepentingan tertentu. Impak dari perbezaan ini sebenarnya adalah kesalahan yang serius! Akan ada sebahagian umat Islam di sesetengah negara yang akan berpuasa pada hari yang diharamkan berpuasa (1 syawal). Kita juga akan keliru dalam meramalkan malam lailatul qadar. Rasullullah saw mengatakan lailatul qadar akan datang pada malam ganjil. Jadi, malam ganjil di negara manakah yang akan berlakunya lailatul qadar? Malaysia atau Arab Saudi? Ada yang mengatakan perbezaan ini adalah khilaf dikalangan ulamak. Tapi, persoalannya, sejauh manakah kita berusaha mencari dalil yang terkuat dalam penentuaan hilal ini?
Khatimahnya, marilah kita menjadikan bulan Ramadan tahun ini sebagai momentum menyemai kekuatan ruhul Islam dan mengembalikan kekuatan syakhsiyah Islamiyah agar kita berpegang teguh terhadap syariat Islam keseluruhannya (Kaffah). Kita yakin syariat Islam telah lengkap dan disempurnakan oleh Allah swt (Al-Maidah, ayat 3). Kita juga patut meyakini syariat yang diturunkan kepada Rasulullah saw ini syariat yang kekal dan sesuai hingga hari akhirat. Kita juga sepatutnya meyakini Islam ada penyelesaian terhadap semua masalah umat termasuk penentuan awal dan akhir Ramadhan. Seterusnya terserahlah kepada kita untuk sama-sama berusaha agar syariat Islam akan kembali ke dalam segenap aspek kehidupan. Marilah sama-sama kita kembali menyeru kepada Islam Kaffah sebagaimana Rasulullah saw dan para sahabat melangsungkan kehidupan Islam pada 1400 tahun yang lalu.
Allahumanshur man nashara ad-dîn wakhdul man qatala al-muslimîn.
Selamat menjalankan ibadah puasa Ramadhan 1430 H. Semoga kita menjadi orang-orang yang bertakwa kepada Allah swt. Amin.

Tuesday, August 18, 2009

Aspirasi YDP


Assalamualaikum dan salam perpaduan.

Alhamdulillah. Kesyukuran secara mutlaknya kita angkatkan pada yang paling layak dan berhak, Allah Yang Maha Menyatukan. Selawat serta salam buat Junjungan Mulia penghulu bumi dan syurga, Muhammad Rasulullah shallallahu alaihi wasallam. Seterusnya para sahabat, salafussholeh dan seluruh kader dakwah yang mewakafkan diri mereka pada Islam hingga Hari Akhirat.

Sahabat-sahabat pewaris Islam,

“Ilmu Punca Kemajuan.” Gagasan mulia yang dicanangkan Universiti Malaya lebih satu abad lalu dan kini tetap relevan. Kita lihat pula sejarah 1430 tahun lampau, kalam pertama dari langit ialah “iqra’” yakni “bacalah”. Terbukti, yang pertama lagi utama ialah pemerkasaan ilmu. Gagasan keilmuan adalah satu idealisme yang amat berat untuk dijunjung serta dilaksanakan namun tidak dapat tidak ia tetap terpundak di bahu kita semua.

“wahai orang-orang beriman, apabila dikatakan kepadamu; berilah kelapangan pada majlis-majlis, maka berilah kelapangan, nescaya Allah akan memberi kelapangan kepadamu. Dan apabila dikatakan; berdirilah kamu maka berdirilah, nescaya Allah akan mengangkat darjat orang beriman di antara kamu dan darjat orang yang diberi ilmu beberapa darjat. Dan Allah Maha Teliti apa yang kamu kerjakan.” (al-Mujadilah:11)


Sahabatku Mahasiswa,

Dunia mahasiswa bukan lagi dunia “budak-budak” bahkan sejarah membuktikan perjuangan mahasiswa sentiasa memberi kesan terbaik pada reformasi ummah. Ayuh kita imbau sejarah kejayaan Revolusi Iran menumbangkan kebobrokan regim Syah Iran, ianya telah didokong dan disokong oleh golongan mahasiswa yang menjunjung keadilan. Menjenguk pula cetusan minda mahasiswa di Burma. Kesedaran dan keberanian mahasiswa telah menubuhkan Perstuan Pemuda Buddha (YBMA) dan menjadikan kampus nadi pergerakan mereka. Idealisme menentang penjajah mereka telah menggerunkan penjajah British dan memberi impak maksimum terhadap kesedaran rakyat. Nun di Afghanistan kita bisa menjadikan mahasiswa Universiti Kabul sebagai contoh. Di sana lahir Gulbuddin Hekmatyar iaitu seorang pemimpin kampus yang bisa meniupkan ruh jihad kepada seluruh teman kuliahnya. Kesannya sepuluh tahun perjuangan itu telah memaksa Regim Russia mengangkat bendera putih.

Nah, itulah sebenarnya mahasiswa. Apa yang dicorakkan mereka akan menjadi gambaran sesebuah negara pada masa hadapan. Ayuh sahabat, kita sudah boleh mula berkhayal untuk masa hadapan negara. Kitalah golongan pewaris dan generasi pelapis yang akan memakmurkan bumi dengan lunas-lunas Islam. Tapi harus diingat dunia mahasiswa bukan hanya di dalam kampus atau bilik kuliah semata-mata.

“Pemimpin tidak boleh dicetak. Pemimpin tidak lahir di bilik kuliah tetapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas kancah, muncul di tengah-tengah pengumpulan masalah, menonjol di kalangan rakan seangkatan lalu diterima dan didokong oleh umat.”-Bapa Natsir


Sahabat seangkatan,

Binalah dimensi pemikiran yang lebih mencakah, hapuskan kejumudan yang mencengkam minda, anjakan paradigma dan hapuskan dogma-dogma yang beku lagi kaku, bersedialah untuk menerima tanggungjawab ummah.

“Tanggungjawab mahasiswa bukan hanya di bilik kuliah. Mahasiswa sebenar ialah mereka yang mampu mengesat air mata rakyat, menyapu luka masyarakat dan mendengar suara hati mereka..” –Sdr Mohd Dzul Khari Mohd Noor


Namun segalanya berpasak kukuh pada tunjang keilmuan di dada. Analogi tepat bagi mereka yang tidak berilmu umpama si buta tak bertongkat. Cendekiawan menyebut abad ke-21 adalah zaman kebangkitan Islam. Kita yang bakal mendokong arus kebangkitan ini perlulah mempersiapkan diri dengan pelbagai keilmuan bagi mendepani massa. Harus diingat bahawa Islam itu tertegak dengan hujah.

Mahasiswa pendokong keadilan,

Sudah tiba masanya kita hentikan persengketaan, hapuskan segala kekeliruan, perkasakan kembali kesatuan Islam. Buangkan segala yang remeh-temeh, pergi jahanamlah segala kemaksiatan. Kembalilah pada Tuhan, eratkan hubungan dengan-Nya. Bersatu demi Islam.

“Sesungguhnya umat Islam mencapai kemenangan kerana musuh-musuh mereka melakukan maksiat kepada Allah. Jika tidak kerana kelebihan ini, nescaya orang-orang Islam tidak akan mempunyai kekuatan kerana bilangan dan kelengkapan mereka. Jika kita sama sahaja dengan mereka dari segi melakukan maksiat, mereka akan mempunyai kekuatan yang lebih ke atas mereka.” –Saydina Umar al-Khattab



Faqir ilaLlah;
Syis bin Abdul Kadir
Yang di Pertua
Majlis Perwakilan Pelajar
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya
Nilam Puri
hamz_5415@yahoo.com
http://oasislam.blogspot.com

Malam al-Quds Sedunia



.Allah berfirman:"Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya), melainkan dengan suatu (alasan) yang benar[853]. Dan barangsiapa dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah memberi kekuasaan[854] kepada ahli warisnya, tetapi janganlah ahli waris itu melampaui batas dalam membunuh. Sesungguhnya ia adalah orang yang mendapat pertolongan" (surah Al-israa' Ayat 33)

kekajaman zionis laknatullah tidak dapat dinafikan lagi..sungguh kejam kerana sanggup membunuh dan memusnahkan manusia hanya semata-semata untuk melepaskan kepuasan..subhanallah..inilah umat akhir zaman..sungguh banyak perbezaan 10 minit kita di malaysia dan negara-negara yang aman berbanding 10 minit penduduk palestin..kita masih mampu untuk ketawa,pergi bekerja dan masih ade sesetengah di kalangan kita yang masih sempat melakukan maksiat, perjudian dan dan sebagainye namun seorang anak palestin hanya mampu untuk ketawa untuk beberapa saat dan menangis untuk beberapa minit hanya kerana telah kehilangan ayah dan ibunya dalam masa 10 minit..dalam beberapa minit umat islam hancur oleh kekajaman zionis laknatullah..

masih ade kah dikalangan anak adam seperti salahuddin Alayubi yang mampu menawan dua pertiga dunia?? masih adakah anak adam yang seperti Saad bin Abi Waqqas seorang muslim yang berani didalam perang Uhud sehingga mampu menjadi panah daripada panah-panah islam, masih adakah anak nabi adam seperti khalid alwalid yang menjadi saifullah??tepuk dada tanyalah iman kita..

namun,masih ade sesetengah pihak yang sedar untuk menghulurkan sumbangan..syukran a'al kulli hal kepada sahabat-sahabat nilam puri yang menyumbangkan derma kepada bumi palestin untuk mengurangkan beban mereka sempena menyambut bulan ramadhan yang akan datang..

abu Bakar as-siddiq berkata "sebuah teriakan la-qa'qa' di tengah-tengah pasukan perang adalah lebih baik daripada 1000 orang laki-laki"

program Malam Al-quds ni di anjurkan sendiri oleh majmuah 3 semester 3 sempena dalam usaha untuk mengutip sumbangan dan derma dari warga APIUM nilam puri untuk di hantar kepada penduduk bumi palestin..majmuah 3 mengadakan sedikit tayangan dan mengedarkan tabung derma kepada semua pelajar..alhamdulillah kutipan pada hari pertama memberangsangkan..dan program Al-quds ni akan berlangsung sampai awal ramadhan..
semoga sedikit nilai yang kita derma akan di gandakan oleh Allah diakhirat kelak..

Saturday, August 15, 2009

Bengkel Kesetiausaan dan Pengurusan Organisasi (BESPO '09)

Bengkel Kesetiausahaan dan Pengurusan Organisasi

Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat
"sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khlaifah di muka bumi"
mereka berkata: 'mengapa engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat
kerosakan padanya dan menumpahkan darah padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan
menyucikan Engkau?' Tuhan berfirman " Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui"
(surah Al-Baqarah Ayat: 30)

Begitulah Firman Allah SWT yang menjadikan manusia ini sebagai sebaik-baik penciptaan..
subhanAllah..
Melalui Ayat di atas dapat saya kaitkan dengan bengkel yang di adakan pada 15 ogos 2009 berkaitan dengan
Bengkel kesetiausahaan dan Pengurusan Organisasi, dimana program ini dijalankan adalah untuk memberi
penerangan kepada pemimpin-pemimpin APIUM Nilam Puri yang terdiri daripada Majlis Perwakilan Pelajar dan Jawatankuasa tindakan kolej,Mas'ul mas'ulah,presiden dan timbalan presiden bagi kelab-kelab dan persatuan anak negeri, setiausaha dan juga bendahari tentang kepentingan berorganisasi dan cara membentuk sesuatu organisasi itu supaya lebih efisyen dan teratur...
program ini merupakan salah satu wasilah juga untuk melatih pimpinan atasan supaya dapat mengendalikan sesuatu organisasi itu dengan lebih berjaya dan memudahkan gerak kerja di lakukan..
selain daripada penerangan tentang tugas- tugas dan tanggungjawab yang dipikul oleh setiap organisasi
bengkel ini turut menerangkan tentang cara-cara untuk kita mengadakan sesuatu minit mesyuarat supaya lebih berstrategi dan lebih teratur program ini merupakan salah satu wasilah juga untuk melatih pimpinan atasan supaya dapat mengendalikan sesuatu organisasi itu dengan lebih berjaya dan memudahkan gerak kerja di lakukan..
selain daripada penerangan tentang tugas- tugas dan tanggungjawab yang dipikul oleh setiap organisasi
bengkel ini turut menerangkan tentang cara-cara untuk kita mengadakan sesuatu minit mesyuarat supaya lebih berstrategi dan lebih teratur supaya segala perbincangan dapat dijalankan dengan lebih baik..

Bengkel ini atau lebih dikenali sebagai BESPO telah berjalan selama satu hari dan telah dirasmikan oleh Ustaz Harul bin mohd Saleh merupakan Pensyarah di APIUM Nilam Puri merangkap Penyelia di kolej kediaman Nilam puri ini sendiri.terdapat beberapa slot ceramah antaranya adalah pengurusan organisasi Efisyen.penyediaan bajet dan kaedah menyediakan kertas kerja dasar serta pengendalian mesyuarat.
selain itu,Untuk menjalankan sesebuah aktiviti memerlukan kertas kerja dasar yang mampu jejak dengan visi,misi dan objektif sesebuah organisasi tersebut supaya segala program yang dirancang mampu mencapai objektifnya.
tambahan pula untuk menguruskan sesebuah program memerlukan penelitian yag mendalam dan memerlukan tenaga kerja yang ramai ini kerana untuk memudahkan program itu berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah...

Akhir sekali Alhamdulillah diharapkan program-program seperti inilah yang mampu menambah ilmu-ilmu kita yang masih kekurangan.“Sesungguhnya Allah SWT menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya dan menyuruh kamu apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu berlaku adil” (Surah An-Nisa : 58). Berdasarkan kepada firman Allah SWT diharapkan semoga kita dapat menjadikan satu inspirasi untuk kita bertanggungjawab dan menjaga amanah dalam menegakkan islam.

Bespo'09 Anjuran JKP Etika,Kerohanian & Kenegaraan
Jawatankuasa Tindakan Kolej APIUM Nilam Puri.

Monday, August 3, 2009

Manusia Banyak Bersangka-sangka


Kata-kata Renungan :
(Manusia hari ini suka bersangka²) “Ada sangkaan baik”...”Ada sangkaan buruk”..Orang beribadah disangka riak - Orang yang relax disangka malas - Orang yang pakai baju baru disangka menunjuk - Orang yang pakai baju buruk disangka zuhud (hina) - Orang makan banyak disangka pelahap - Orang makan sikit disangka diet – 0rang bimbang disangka kalut -0rang bersungguh disangka melampau -Orang yang menegur disangka angkuh dan musuh -0rang yang tidak menegur disangka bijak dan her0 – 0rang berbisik disangka berahsia - 0rang bercakap disangka mengampu - Orang baik disangka buruk - Orang buruk disangka baik - Orang senyum disangka mengejek - Orang masam disangka merajuk - Orang bermuzakarah disangka mengumpat - Orang diam disangka menyendiri - Orang menawan disangka pakai susuk - Orang nampak ceria disangka membela - ......... MANA TAHU yang diam itu kerana berzikir kepada Allah mana tahu yang senyum itu kerana bersedekah mana tahu yang masam itu kerana mengenangkan dosa mana tahu yang menawan itu kerana bersih hati dan mindanya...
Semasa anda dilahirkan, anda menangis dan orang di sekeliling anda tersenyum. Teruskanlah hidup anda supaya apabila anda mati nanti, andalah yang akan tersenyum dan orang sekeliling anda pula yang akan menangis(mengingati anda).Apabila anda berbuat kebaikan,jangan disangka anda dapat balasan baik dengn cepat..tetapi..ia pasti berlari kepada amalan anda..Jangan diSANGKA akan keburukan akan hilang begitu sahaja..setiap perbuatan ada balasannya.
أحسب النّاس أن يتركوا أن يقولوا ءامنّا وهم لا يفتنون
"Apakah mereka menyangka bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan,"kami telah beriman,"dan mereka tidak diuji ?"
Jika yg diingini tidak diperolehi, bersyukurlah pada apa yg kita perolehi skrg nie..tetapi usaha dalam memperolehi hidayah dan rezeki ALLAH mesti berterusan..
*ISLAH kan diri kita akan musibah H 1 N 1...PERBAIKI LAH IBADAT KITA..Anda boleh dianggap lebih daripada sebagai “binatang” jika tidak ada setitik pun rasa keinsafan padaNYA.

Muhammad Nasrul Alam Bin Ash’ari
PRESIDEN,
JawatanKuasa Tindakan K0lej,
Akademi Pengajian IslamUniversiti Malaya Nilam Puri,
Sesi 2009/2010.
http://an-nasr89.blogspot.com/

Friday, July 31, 2009

H1N1 : Pandang Sisi YDP

Assalamualaikum dan salam kasih sayang.

H1N1 gemparkan Apium. Bagai semalam kita terdengar berita yang virus ini bermula di Mexico. Namun Maha Agung Allah mencapahkan penularan zarah yang sekelumit itu hingga seantero dunia bising membincangkan perihal 'sang babi'. Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un.

"adakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya berkata: kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji." (al-ankabut:2)

H1N1 satu mehnah dan ujian buat mereka yang mencanang dirinya beriman. Sejauh mana kita beriman? Ayuh kita jadikan medan kuarantin sebagai indikator semantap mana keimanan dan ketqwaan kita.

"dan kami turunkan al-Quran yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman, sedangkan bagi orang zalim al-Quran itu hanya menambah kerugian." (al-isra':82)

Itulah ciri-ciri mereka yang bergelar mu'min. Setiap keadaan dan situasi tidak melenturkan prinsipnya terhadap Islam. Tegar meletakkan al-Quran sebagai jalan keluar pada setiap tribulasi dan masalah, panduan kala kesesatan, syifa' tika kelemahan dan penghibur saat kesunyian. Mereka yang beriman melihat hikmah atau ibrah terlebih dahulu dari terus menyesali takdir. Beginikah kita? Namun mereka yang tidak beriman terus berkiblatkan nafsu dalam semua hal bahkan merungut serta putus asa dengan ujian. Mereka tidak melihat kesenangan dan kesusahan yang dianugerahkan dengan kaca mata kesyukuran. Itulah sifat mereka yang tidak beriman lagi zalim. Oh, jangan keliru. Mereka yang beriman itu bukan hanya yang baca al-Quran. Tapi keseluruhan kehidupannya dicedok dari wahyu. Membaca dan menterjemah dalam kehidupan seharian. Syukur bila mendapat kemenangan, ujian yang menjenguk kesabaran menjadi benteng. Berakhlak dengan akhlak Islam. Ibadah dan pergantungan semakin meningkat semasa diuji Tuhan. Namun sebaliknya pula mereka yang zalim. Kita golongan mana?

H1N1 satu bala? Saya tidak mahu menghukum. Ujian itu dari Allah. ibtila' juga kurniaan-Nya.

"yang demikian itu kerana mereka (orang kafir) membenci apa yang diturunkan Allah (al-Quran) maka Allah menghapuskan segala amalan mereka. Maka apakah mereka tidak pernah melakukan perjalanan di bumi, sehingga dapat memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang sebelum mereka. Allah telah membinasakan mereka, dan bagi orang-orang yang ingkar akan menerima nasib yang sama." (muhammad:9-10)

Nyata. Amaran bagi mereka yang ingkar dan derhaka supaya mereka mengambil istifadhah dari kisah-kisah umat terdahulu. Kita imbau sejarah umat dahulu yang dilaknat Allah. Bagaimana Allah membayar kekufuran kaum A'ad, Thamud dan seumpamanya. Harus diingat bahawa bala itu pelbagai, bencana alam, tersebarnya wabak berjangkit dan seumpamanya. Segala bentuk kemurkaan Allah ini adalah ditempah oleh manusia sendiri, berpunca dari tangan kita yang kotor.

"telah nyata kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia; Allah menghendaki mereka merasakan sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)." (ar-Rum:41)

"dan jika kami hendak membinasakan sesuatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negari itu mentaati Allah, tetapi bila mereka melakukan kederhakaan di dalam negeri itu, maka sepantasnya berlakulah terhadapnya perkataan (hukuman Kami) kemudian kami binasakan mereka sama sekali" (al-Isra':16)

Sahabat yang dikasihi,

Apa yang ingin saya sampaikan di sini adalah sedikit peringatan untuk bersama. Musibah H1N1 ini satu teguran dari Allah buat kita yang alpa dan lalai supaya kembali kepada hakikat ketuhanan dan mengembalikan status 'hamba' itu pada diri kita secara total. Moga tarbiyyah secara langsung ini bisa melunakkan keegoan kita serta kembali mendekatkan diri pada Azza Wa Jalla yang Maha Pengampun. Ayuh sahabat, bersama kita koreksi diri, muhasabah hati sekerap mungkin. Akuilah bahawa kita telah bersangatan dalam urusan kita hingga mengenepikan Allah. Terimalah ujian ini dengan senyum kesabaran dan air mata keinsafan. Marilah sama-sama kita perkasakan kembali ibadah dan munajat pada-Nya.

Tidak lupa juga supaya sahabat-sahabat mengambil berat tentang kesihatan dan keselamatan diri. Sentiasalah patuhi arahan yang telah dikeluarkan pihak berwajib. Yang paling penting arahan dari langit. Moga kita terus diberkati dan bumi Nilam Puri ini tetap dilindungi dari segala bala bencana. Terima kasih Tuhan kerana masih menyayangi kami yang hina ini.

"Wahai tuhan, kami telah menzalimi diri kami sendiri, sekiranya Engkau tidak mengampunkan dan merahmati kami, jadilah kami golongan yang rugi."

Musibah itu mehnah,mehnah itu tarbiyyah, tarbiyyah itu susah, susah itu perlu pada jiwa yang tabah.


Faqir ilaLlah;

Syis bin Abdul Kadir,
Yang di Pertua
Majlis Perwakilan Pelajar
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya
Nilam Puri.
http://oasislam.blogspot.com

Thursday, July 30, 2009

Kalam Presiden JTK


Assalamualaikum warahmatullahi barakatuh.…
Alhamdulillah,segala pujian bagi Allah,pencipta dan pentadbir keseluruhan alam.Hanya kepadaNya kita menyerah segala harapan dan usaha,memohon petunjuk hidayah serta keampunanNya.KepadaNya kita memohon perlindungan segala perbuatan yang tidak baik dan amalan-amalan  yang keji lagi terkutuk.Saya utuskan selawat dan salam buat junjungan besar nabi Muhammad,pesuruh Allah an seterusnya diiringi doa kepada para syuhada’,para pimpinan umat islam yang benar di jalan Allah dan umat islam kesuluruhannya.
Seseungguhnya,setiap makhluk  yang diberi hidayah oleh Allah,pasti tidak akan disesatkan olehNya dan sesiapa menyimpang daripada jalan kebenaran dan kejujuran,tidak akan diberi petunjuk hidayah olehNya.Penilaian Allah terhadap hambaNya amatlah benar.
عن أبي هريرة رضى الله عنه عن النبي صلّى الله عليه و سلّم قال : ان الله لا ينظر الى أجسادكم ولا الى صوركم ولكن ينظر الى قلوبكم.
Ertinya : “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada jasad atau rupa bentuk kamu tetapi Allah melihat kepada hati kamu.”  
Umat islam adalah umat yang terbaik.Dalam masa yang singkat,mereka berjaya menguasai dunia dengan ilmu dan tamadun.Pencapaian seumpama ini tidak pernah berlaku dalam sejarah manusia.Dalam surah Al-Imran ayat 110.Allah berkata “Kamu  adalah  umat yang dilahirkan bagi manusia, kamu menyuruh kepada maaruf dan mencegah kemungkaran dan kamu beriman kepada allah.”Khalifah Umar  bin Khattab pernah berkata berhubung dengan ayat ini,”Sesiapa yang suka digolongkan  dalam  golongan umat yang terbaik  ini,tunaikanlah syarat Allah yang  terdapat  dalam ayat ini”.Sahabat-sahabat nabi Berjaya  menunaikan syarat-syarat ini,justeru mereka berjaya mencipta sejarah yang  gemilang yang tidak ada tolak bandingannya.Pasti kita sebagai Mahasiswa Islam dapat melakukannya  jika mampu  menunaikan syarat-syarat ini.
JIKA JATUH DAN BANGUN.
Hidup ini boleh diumpamakan seperti roda.Kadangkala kita berada puncak kejayaan dan kadangkala di dasar kejatuhan.Menghadapi  onak duri adalah sebahagian daripada kehidupan.0rang  yang Berjaya  adalah orang yang berani menempuh segala ujian ini.Mereka juga  sanggup belajar dari kegagalan.Mengikut suatu kajian ,kalimat  gagap  tidak wujud dalam kamus golongan  RED INDIAN.Justeru mereka tidak pernah gagap.Kita perlu juga perlu  membuang  kalimat putus asa daripada kamus kehidupan supaya kita tidak putus asa semasa menghadapi ujian.Allah berfirman dalam surah al-hijr ayat 56 yang bermaksud  “Ibrahim berkata,”Tidaklah berputus asa daripada rahmat allah melainkan golongan yang sesat sahaja”.
Saudara pernah melakukan dosa besar..?Mengikut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim,pada  zaman dahulu terdapat seorang  lelaki  Yang sudah membunuh 100 orang.Dia kemudiannya bertaubat kepada allah dan meninggal dunia sebelum sempat melakukan sebarang amalan  kebaikan.Allah mengampunkan dosa-dosanya dan mengurniakan rahmat keatasnya.Sehubungan dengan itu,dalam sebuah hadis qudsi yang dirawayatkan oleh Imam Tirmizi ,Allah berfirman,Wahai anak adam..jika dosa-dosamu mencecah awan di langit kemudian kamu meminta ampun kepadaku,akan aku ampunkan dosa-dosamu…”Sebesar mana dosa saudara sekalipun,saudara perlu yakin dengan belas kasihan Allah.Begitulah jugak dengan para mahasiswa islam sekarang  yang sudah terlanjur dalam bayang-bayang cinta sehingga menolak ke jauh identiti  sebagai mahasiswa islam dan bergelumung dalam kancah maksiat dan sebagainya.Saya menasihati dan berdoa kepada allah supaya jauh fitnah ini daripada umat islam.
Saudara pernah melakukan terbabas ? Sejarah menunjukkan,ramai di kalangan orang yang menjadi tokoh Islam Pada hari ini adalah dari kalangan orang yang fasik dan jahat pada masa suatu dahulu.  Fudail Iyad adalah seorang  tokoh adalah seorang tokoh sufi yang dikagumi daripada sudut ibadah dan amalan.Sebelum ini,beliau adalah ketua perompak.Malik bin dinar pada hari ini dikenali denagai tokoh sufi terkenal.Sebelum ini beliau adalah seorang  jejaka  yang suka berfoya-foya dan minum arak.Begitu jugak dengan Imam Hasan al-Basri.Hari in  beliau adalah imam mujtahid terkenal.Sebelum ini beliau adalah seorang anak muda  yang suka berfoya-foya dan berpelesiran .Justeru,jika pada hari ini saudara terbabas,saudara masih 0K apabila saudara sanggup membuat  perubahan positif pada diri anda.
Saudara pernah melakukan kezaliman ? Sahabat nabi Wahsyi pada zaman kekufurannya pernah membunuh tokoh islam yang bernama Hamzah di perang uhud.Namun,pada kemudian hari,beliau menginsafi akan perbuatannya dan mendapat hidayat daripada allah.Beliau telah menebus kesalahannya dengan membunuh Musailamah bin al-kazzab yang mengisytiharkan dirinya sebagai rasul dan memeranggi umat islam.0leh itu,saudara tidak perlu bimbang dan khuatir.Apabila saudara sudi kembali ke pangkal jalan,Allah pasti menerimanya.
Sebenarnya,kita masih belum gagal selagi mana kita sanggup berusaha,bertawakkal dan senantiasa membuat perubahan dalam kehidupan ini.Kita akan dihukum  gagal apabila kita berputus asa dalam berusaha dan bangkit dari dugaan dan ujian.
عن فضالة بن عبيد رضي الله عنه عن النبي صلى االله عليه وسلّم قال : طو بى لمن هدي الى الاسلام و كان عيشه كفافا وقنع.
 Ertinya : “berbahagialah orang yang diberi hidayat kepada islam,manakala kehidupannya pula sentiasa mencukupi dan berpada”.
Risalah yang sedang anda baca ini ialah sebuah tulisan tangan saya (dari pelbagai sumber)  yang pertama selaku Presiden JawatanKuasa Tindakan Kolej sesi 2009/2010,Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya Nilam Puri,Kelantan Darul Naim.Ketika mana saya menerima taklifan ini terasa amat berat di bahu dan jiwa  saya untuk memimpin satu tempat yang penuh keberkatan ditambah pula manusia yang menghuni bumi ini yang mempunyai pelbagai identiti dalam memimpin dan memegang amanah Allah selaku Khalifah Allah di muka bumi ini.Kita serupa sahaja sama ada seorang presiden atau mahasiswa biasa,sama ada dari Borneo ataupun semenanjung,dari Bandar ataupun kampung.Yang pasti matlamat kita adalah sama iaitu memastikan agama Allah terus dipandang tinggi dan mulia.
Akhir kalam, ambillah pesanan nabi sebagai gengaman dan pegangan kita bersama,”aku tinggalkan kamu dua perkara,kamu sesekali tidak akan sesat selagi mana kamu berpegang dengan kedua-duanya iaitu kitab Allah dan sunnah rasulullah”.Sedarlah kaum terdahulu musnah kerana buruk sikap dan akhlak akibat mendustakan dan membelakanggi perintah Allah.Persoalannya apakah kita mahu menjadi seprti mereka..?
Sebelum saya mengundurkan diri.saya memohon jutaan kemaafan kepada mana-mana pihak jika tersinggung atau terguris hati dengan tulisan saya dan sepanjang mana perkenalan kita ini.Percayalah,saya menulis risalah atau article ini adalah untuk melihat kembali kekuatan umat islam dan menikmati kemanisan iman atas ketaatan dan kepatuhan pada perintah Allah.
“Berilah peringatan kerana peringatan itu berguna kepada orang mukmin”.Nabi berpesan,”berkatalah benar walaupun ianya pahit”.  
     
PEMBUDAYAAN ILMU WADAH PENCETUS GENERASI MAHASISWA GHURABA.

Hamba Allah yang lemah dan Fakir.

Muhammad Nasrul Alam Bin Ash’ari
PRESIDEN,
JawatanKuasa Tindakan K0lej,
Akademi Pengajian IslamUniversiti Malaya Nilam Puri,
Sesi 2009/2010.
http://an-nasr89.blogspot.com/

Wednesday, April 8, 2009

Ucapan Sulung YDP

الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وصحبه اجمعين.

Alhamdulillah, kesyukuran yang tiada batas kita panjatkan kepada Allah s.w.t. kerana terus mengurniakan nikmat iman dan Islam yang membolehkan kita berkumpul dalam satu majlis yang berkat ini. Selawat serta salam yang berterusan buat idola kepimpinan agung Rasulullah s.a.w. yang membawa fenomena dakwah dan tarbiah menyuburkan bumi jahiliyyah. Seterusnya para sahabat, tabi’in serta seluruh pejuang Islam sepanjang zaman.

Jutaan terima kasih juga saya ucapkan buat pihak pentadbiran, pensyarah-pensyarah serta sahabat-sahabat mantan yang memberi kepercayaan kepada saya dan sahabat-sahabat untuk memegang tampuk pimpinan MPP JTK 09/10. Tahniah dan selamat berjuang buat sahabat-sahabat barisan pimpinan sekalian.

Pada malam ini saya mencipta sejarah peribadi kerana dapat berdiri di podium ini buat pertama kalinya. Bonda Rafeah Salem pernah berdiri di podium ini, ayahanda Azra’e juga pernah menggunakan pentas ini. Dari pentas ini jugalah lahirnya manusia-manusia pencinta agama dan kebenaran dan saya berjanji, makhluk yang berdiri di pentas ini sekarang akan terus mengorak langkah dan mencipta sejarahnya sendiri.

Sahabat-sahabat mahasiswa yang disegani,

Mahasiswa Islam laksana golongan ghuraba’, golongan yang aneh. Dalam kesibukan dunia golongan ini masih lagi mendalami ilmu-ilmu agama. Tika masyarakat leka tanpa panduan mereka tetap mendaulatkan al-Quran. Saat agama diperlekeh mereka yang bangun dan lantang mempertahankan sunnah Rasulullah. Mahasiswa Islam adalah satu nama yang gah dan hebat. Namun hakikatnya sekarang hanya gah pada namanya sahaja. Mahasiswa Islam kini semakin tumpul senjata keilmuannya dan semakin ketinggalan dalam mendepani massa. Hakikat mahasiswa Islam kini hanya pada ilmu yang ingin dijawabnya ketika peperiksaan sahaja. Bagaimana pula akhlak mereka? Penghayatan mereka terhadap Islam? Tepuk dada tanya iman.

Golongan ghuraba’ yang intelek,

Jika tahun 60-an, saudara Anwar Ibrahim menjadi ikon mahasiswa pada ketika itu, namun siapa pula ikon mahasiswa pada abad ini? Bangkitlah wahai mahasiswa Islam mendada globalisasi dan membimbing masyarakat dengan keilmuan dan akhlak islam.

Sidang muktamar yang budiman,

Saya mewakili barisan pimpinan sesi 09/10 berjanji akan meneruskan segala gerak kerja dengan baik serta akan melakukan reformasi dalam kepimpinan demi kebaikan bersama. Sedarlah sahabat-sahabat bahawa apa yang dipundakkan pada kita ini bukan kerja main-main dan semestinya memerlukan kepada komitmen yang mendalam dan berterusan. Mana mungkin pemimpin itu akan dihormati jika akhlak tidak terjaga. Kepimpinannya akan diperlekeh jika tahap keilmuan masih tipis. Pangkat yang diberi bukan untuk dibangga. Jawatan yang diamanahkan ini adalah untuk dilaksanakan demi agama. Namun warga mahasiswa sekalian,pada zaman ketiadaan nabi dan rasul ini, menjadi kewajipan bagi kita untuk menyambung risalah perjuangan baginda. amar ma’ruf nahi munkar itu bukan hanya terbeban dibahu pemimpin semata-mata. Kerja-kerja memakmurkan alam ini tidak sekadar tugas MPP JTK. Tetapi haruslah ada kesedaran dalam jiwa kita sekalian bahawa kita diciptakan bukan sekadar untuk berseronok. Kita dipertanggungjawabkan untuk mendaulatkan Islam dan menjulang al-Quran dan sunnah. Ingatlah bahawa kita semua akan dipersoalkan tentang amanah tersebut.

Saff pimpinan pencorak perubahan,

Ayuhlah kita sama-sama berganding bahu mengorak langkah mencorak masa depan APIUM NP yang lebih gemilang. Bersamalah kita membina solidariti pemikiran dan gerak kerja demi merealisasikan bumi tarbiah ini terus terpelihara. Janganlah kita menjadikan alasan masa yang terhad sebagai penghalang untuk menyempurnakan tanggungjawab ini. Ingatlah kembali bahawa Khalifah Umar Abdul Aziz r.a. hanya menerajui kepimpinan kerajaan Islam hanya dalam masa tiga puluh tahun. Namun dalam masa yang singkat itu beliau mampu melakukan reformasi dalam sistem pemerintahan Islam. Pensyarah-pensyarah dan sahabat sekalian, ingatkanlah kami jika kami terleka dan berilah tunjuk ajar dan kritikan kepada kami . khalifah Umar al-Khattab pernah berkata apabila dikritik oleh rakyatnya “tidak ada kebaikakan apabila kamu tidak mahu menegur dan tidak ada kebaikan jika para pemimpin tidak mahu mendengarnya.” Ya, pemimpin itu mampu memimpin dan sedia dipimpin.

Akhir kata saya menyeru seluruh warga APIUM NP untuk bangkit bersatu bersama saya demi kegemilangan Islam.



Faqir ilaLlah;
Syis bin Abdul Kadir
Yang di Pertua
Majlis Perwakilan Pelajar
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya
Nilam Puri
hamz_5415@yahoo.com
http://oasislam.blogspot.com
Newer Posts Home

Pages

al-Wakt

FOLLOWERS

ABOUT APIUM

My Photo
NILAM PURI, KOTA BHARU, Malaysia

DARI MEJA EDITOR

Meja Editor apiumnp.blogspot mengalu-alukan kepada pembaca untuk menghantar artikel atau sebarang berita untuk disiarkan di laman ini. Sebarang cadangan, penambahbaikan dan artikel bolehlah dihantar ke mppumnp@gmail.com.

Terima Kasih.

SURAT MENYURAT

AKADEMI PENGAJIAN ISLAM UNIVERSITI MALAYA NILAM PURI , 16010 KOTA BHARU ,
KELANTAN DARUL NAIM
http://apiumnp.um.edu.my
email : nilampuri@um.edu.my
tel : 09-7126508 begin_of_the_skype_highlighting 09-7126508 end_of_the_skype_highlighting
fax : 09-7126580

MISI APIUM

BERUSAHA UNTUK MENJADI PUSAT PENGAJIAN TINGGI ISLAM KONTEMPORARI CEMERLANG DI NEGARA DAN SERANTAU,BERGIAT DALAM PENYELIDIKAN , PENGAJARAN DAN PERUNDINGAN.

VISI APIUM

UNTUK MEMAJUKAN BIDANG PENGAJIAN ISLAM BERASASKAN TRADISI KEILMUAN ISLAM
DAN KAEDAH MODEN YANG SAINTIFIK
MELALUI PENYELIDIKAN DAN PENDIDIKAN
BERKUALITI UNTUK NEGARA
DAN KEMANUSIAAN.

DISKUSI INTELEK

POPULAR POST

 

LABELS

PENGUNJUNG

Labels

 

Another Templates

Templates by Nano Yulianto | CSS3 by David Walsh | Powered by {N}Code & Blogger