SELAMAT DATANG KE BLOG MY APIUM NILAM PURI

ANDA SUKA BLOG INI

Sunday, April 10, 2011

APIUM : BANGUNAN KULIAH


Disini terdapat 2 blok bangunan untuk kegunaan pembelajaran pelajar-pelajar disini.Satu blok setinggi 2 tingkat dan satu blok lagi setingkat yang mengandungi 2 dewan kuliah dan 15 bilik kuliah.Setiap bilik kuliah di lengkapi sistem hawa dingin serta alat –alat pembelajaran yang lain untuk para pelajar .Di bangunan tersebut juga ditempatkan bilik pensyarah, sebuah makmal komputer , bilik air dan sebuah cyberlab .

bangunan kuliah

APIUM : RUKNU BAHASA ARAB

LOGO RUKNU BAHASA ARAB
تم افتتاح ركن اللغة العربية في أكاديمية الدراسات الإسلامية نيلم فوري وهو عبارة عن مركز خاص لأنشطة لجنة تقوية اللغة العربية. وقد أقيم في هذا الركن برامجا تفيد الطلاب منها برنامج عيادة اللغة العربية وورشة اللغة العبية للطلاب الضعفاء وأعدّ كذلك في هذا الركن المجلات والكتب والمراجع العربية والأقراص المتعددة لمطالعة ومراجعة الطلاب. وتشرف الأستاذ المشارك الدكتور محمد محي الدين عبد الرحمن نائب مدير الأكاديمية بافتتاحه في يوم الاثنين الموافق 4 يناير 2010 حيث أنه قدعيّن الأستاذة وان روحاني وان مختار مدرسة اللغة العربية بأكاديمية الدلراسات الإسلامية نيلم فوري مسؤولة لهذا الركن ويساعدها عدد من طلبة من أعضاء الركن. والركن مفتوح كل يوم الدوام من الساعة الثامنة صباحا ألى الساعة العاشرة ليلا للمدرسين والطلاب والضيوف والزائرين.

RUKNU BAHASA ARAB

Antara aktiviti-aktiviti menarik yang dijalankan pada sem 2010/2011:

-Kelas intensif
-Bacaan qit’ah dalam kelas
-Pertandingan logo ruknu

RUKNU BAHASA ARAB

-Minggu ekslusif & Camp; gemilang bahasa arab
(jtk akademik dengan kerjasama rukn al-lughatul a’robiyah)
-Keceriaan,kebersihan,kreativiti (3k)
(jtk keseniaan & kreativiti  dengan kerjasama rukn al-lughatul a’robiyah)
-Malam kesenian bahasa arab
--Tobur

RUANG ULANG KAJI YANG SELESA

“هيا معا لرفع مستوى اللغة العربية”


ANTARA BUKU DI RUKNU BAHASA ARAB APIUM

APIUM : KOLEJ KEDIAMAN

 1) Kolej Kediaman 

Di kampus ini terdapat 2 buah kolej kediaman untuk para pelajar yang menuntut di sini iaitu:

 a) Kolej Kediaman Al-Ghazali. 



BLOG AL-GHAZALI (LELAKI)


Bangunan ini adalah satu blok asrama yang dibina 4 tahun lalu untuk penempatan siswa yang menuntut di Nilam Puri bagi menggantikan asrama lama yang tidak mampu menampung bilangan siswa yang bertambah setiap tahun .Bangunan satu blok setinggi 3 tingkat ini mampu menampung pelajar seramai  260 pelajar .Setiap paras disediakan bilik air dan tandas untuk kemudahan pelajar sementara bilik TV dan sebuah kantin ditempatkan dibahagian bawah .Setiap bilik menempatkan 2 orang pelajar siswa yang disediakan 2 katil ,2 meja belajar ,2 almari dan kemudahan –kemudahan lain. 

b) Kolej kediaman Al –Malik Khalid. 


BLOG AL-MALIK KHALID (PEREMPUAN)
 Asrama ini menempatkan pelajar siswi yang menuntut disini .Ia mampu menempatkan 450 pelajar dalam satu-satu masa .Bangunan ini mengandungi beberapa blok bangunan setinggi 2 tingkat.Dibahagian paras bawah terdapat sebuah kantin ,surau ,koperasi ,bilik TV dan beberapa kemudahan lain.Setiap bilik menempatkan 3 orang pelajar yang disediakan berbagai kemudahan untuk pelajar. Di bahagian tengah –tengah bangunan terdapat sebuah gelanggang badminton untuk kegitan sukan.

APIUM : PROGRAM ASASI PENGAJIAN ISLAM

1) Latar Belakang Program Asasi

 kursus Pra Akademi Islam Universiti Malayabermula sejak 1981 hasil daripada pengambil alihan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK) oleh Universiti Malaya. Kursus Pra Akademi Islam ini adalah sebagai sumber utama kemasukan ke Fakulti Syariah , Usuluddin , dan Pendidikan Islam.

Bermula sesi 1999/2000, struktur Pra Akademi Islam ini ditukar kepada program Integrasi dimana pelajar ditawarkan kepada program ijazah pertama dalam bidang Syariah , Usuluddin , dan Pendidikan islam dengan tempoh pengajian minima 9 semester dan mulai 2001/2002 , satu program baru diperkenalkan , iaitu program Sarjana Muda Pengajian Islam Dengan Sains.

Kemudian, bermula sesi 2003/2004 , Program Integrasi APIUM , sekali lagi diubah kepada program ASASI yang menawarkan Program Asasi Syariah , Asasi Usuluddin , Asasi Pendidikan Islam , dan Asasi Pengajian Islam dengan Sains (APIDS). Program Asasi ini merupakan program persediaan bagi pelajar sebelum melanjutkan pengajian di APIUM KUALA LUMPUR.

2) Tempoh Pengajian

Tempoh pengajian pada peringkat Asasi adalah selama 4 semester di mana pelajar Asasi Pendidikan Islam , Syariah ,  dan Usuluddin akan mengambil purata 15/16 jam kredit pada setiap semester. Manakala pelajar Asasi Pengajian Islam dengan Sains (APIDS) , akan mengambil purata 18/22 jam kredit bagi setiap semester . Semua pengajian akan dijalankan di kampus Nilam Puri,Kelantan kecuali bagi Program Asasi Pengajian Islam dengan Sains (APIDS),yang akan dilaksanakan di kampus Nilam Puri selama 2 semester dan baki 2 semester akan dijalankan di kampus induk UMKL..



APIUM : LATAR BELAKANG

Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) sepertimana yang ada pada hari ini merupakan gabungan antara Jabatan Pengajian Islam dan Akademi Islam. Sebelum ini kedua-dua institusi tersebut merupakan institusi-institusi tersendiri dalam Universiti Malaya.

Jabatan Pengajian Islam ditubuhkan pada tahun 1959 hasil daripada hubungan formal antara Kolej Islam Malaya pada waktu itu dan Universiti Malaya. Sejak dari itu Majlis Kolej Islam berfungsi sebagai penguasa eksekutif kepada jabatan berkenaan manakala Senat Universiti Malaya pula mengawasi segala hal yang berhubungkait dengan akademik. 

Apabila Majlis Kolej Islam Malaya dibubarkan pada tahun 1970, Jabatan Pengajian Islam telah diletakkan di bawah bidangkuasa Majlis dan Senat Universiti Malaya. 

Selama tempoh tersebut sehingga ia bergabung dengan Akademi Pengajian Islam pada bulan Januari  1996, jabatan ini merupakan sebuah jabatan di bawah Fakulti Sastera Universiti Malaya.


Akademi Islam pula ditubuhkan pada tahun 1981 hasil pengambil alihan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan  (YPTIK) yang telah ditubuhkan pada tahun 1965. Ia mengandungi dua buah fakulti iaitu Fakulti Syariah dan Fakulti Usuluddin, satu program ijazah iaitu program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam dan satu program matrikulasi iaitu Pra Akademi Islam.  

Saturday, December 26, 2009

Jemaah Dan Bid'ah

*nukilan Ahmad Zaki bin Haris 
 
Salam kesejahteraan. Semoga naungan hidayah yang dilimpahkan Allah tidak pernah putus dan sentiasa menyirami kalian para sahabat blog. Alhamdulillah diberi kesempatan lagi untuk berkongsikan sedikit pandangan dan luahan rasa hati.

Tempoh bagi sesebuah perjuangan mengalami kemerosotan sebenarnya tidak akan dapat diukur hanya sekadar pada pandangan lahir semata-mata. Malah andai dilihat dari satu perspektif yang abstrak, mungkin sesebuah perjuangan itu pada awalnya lagi sudah mengalami gangguan lantaran keinginan dan niat yang terpesong dan tidak disalurkan pada landasan yang sebenar. Atau dalam erti kata lain mengesampingkan keutamaan dalam masyarakat islam dan mengutamakan perihal sesebuah entiti yang tidak mempunyai jaminan dalam pengakhiran hidup, walaupun mereka hanya melihat ianya dari perspektif perlembagaan atau undang-undang dunia semata. Seakan undang-undang akhirat tidak akan mereka hadapi dalam beberapa tempoh terdekat ini.

Biarkan kalian tidak memahami tutur bait kata saya ini. Mungkin setelah habis membaca baharulah kalian menyedarinya lantas memahami maksud sebenar.

Setiap individu mempunyai persamaan dalam beberapa aspek tanpa disedari oleh empunya diri sendiri sebenarnya. Dalam perihal keamanan misalnya, tiada sesiapa pun yang menginginkan keadaan yang kucar-kacir dan haru-biru. Malah seorang manusia akan memukul binatang peliharaan mereka jika ia menumpahkan makanan di lantai. Apakan lagi andai rumah mereka runtuh dihancurkan oleh tentera-tentera kejam yang hanya mengenal dentuman bom dan kerlipan percikan api sahaja.

Demikianlah pancaindera manusia yang saling berantaian antara satu sama lain. Mereka memandang orang yang sengsara dengan pandangan polos sedangkan diri mereka sendiri tidak direlakan untuk diperlakukan sedemikian rupa. Mereka tidak menginginkan perpecahan dan pertelingkahan tetapi lantaran sikap mereka sendiri yang terlalu mementingkan diri sendiri akhirnya mereka terperangkap dalam permainan ilusi mereka itu sendiri. Lantas mengadu permasalah kepada orang lain sedangkan asbabnya berpunca daripada empunya diri.

Baiklah, tidak perlulah kita memanjangkan perbincangan dengan perumpamaan yang berjela. Cukuplah andai hasrat dihati dapat diselami oleh sahabat blog sekalian. Perkara yang harus dipercepat tidak wajar dilengahkan.

Memahami konsep perjuangan islam.

Rata-rata sahabat-sahabat seperjuangan dalam Islam sekalian ternyata punya semangat yang berkobar-kobar dalam memperjuangkan kemuliaan agama Islam sebagai agama sejagat yang dijamin keselamatan dan keberkesanannya dalam pembentukan ummah, masyarakat malah negara sekalipun. Lambakan usaha yang dicetuskan oleh pelbagai jemaah dalam mengadaptasikan unsur yang mulia ini ternyata memberikan satu perkembangan yang baik dalam dunia Islam hari ini. Hal ini secara tidak langsung memberikan semangat kepada masyarakat yang memerhati seterusnya menerima kesannya yang positif, lebih-lebih lagi dalam pembentukan syahsiah yang unggul dan berintegriti.

Usaha-usaha murni yang dipergiat ini seharusnya mendapat sokongan daripada semua pihak terutamanya mereka yang mengaku telah mengimani Allah swt sebagai Rab yang Maha Esa dan Muhammad saw sebagai utusan-Nya yang mulia dan terpelihara. Mereka merupakan golongan yang menginginkan tertegaknya islam dimuka bumi Allah ini lantas mengembalikan tampuk kepimpinan khalifah yang telah lama terkubur sejak zaman keruntuhannya yang terlalu menyanyat hati angkara tangan seorang munafiq malah fasiq yang bertopengkan keadilan dan kesejahteraan sejagat di zaman Turki yang penuh dengan nostalgia tragis. Mereka ini jugalah yang mempunyai kesedaran dalam memperjuangkan kemuliaan serta ke’izzahan syariat agama yang telah dimaktubkan dalam al-quran dan dinaqalkan oleh para sahabat dalam himpunan-himpunan hadis yang terkadang dinodai oleh golongan-golongan pendusta yang dengan sengaja mencemarkan sifat siddiq Rasulullah saw dalam menyampaikan wahyu Allah swt kepada sekalian umat manusia yang menantikan suatu keajaiban dalam mengislah tamadun jahiliyyah mereka yang ternyata sesat dan fasad. Ya, mereka inilah generasi yang ditunggu-tunggu. Sebuah gerakan tajdid diperlukan saat perselisihan antara umat semakin berganda dengan peratus yang tinggi berbanding dengan zaman para tabi’in.

Inilah yang dikatakan daruriyyat. Saat ini keperluan dalam berlapang dada dalam menerima segala perkembangan dalam memartabatkan islam dalam masyarakat sangat-sangat dituntut. Persefahaman antara ahli jemaah seharusnya tidak menjadi satu permasalahan yang diperdebatkan kelak natijahnya tidak membawa kepada penghayatan islam yang sebenar malah ranting-ranting yang tumbuh semakin bercabang lantas penghujungnya sekadar menjadi penghalang laluan. Malah ianya memudaratkan yang lain, bimbang hujung rantingnya yang tajam menikam mata mereka yang melalang di perjalanan. Akhirnya buta dalam memilih jalan yang sebenar.

Nah, akhirnya sekalian jemaah buntu dalam kebenaran yang bermain di tanggapan mereka.

Elakkan segala perbincangan yang merugikan.

Memang perkara yang menimbulkan perselisihan merupakan satu perkara yang sangat-sangat menarik untuk dibincangkan. Lantaran asas yang diguna pakai merupakan sesuatu yang subjektif, maka pengolahan dalam mempertahankan pandangan tersebut ternyata sentiasa ada. Dan pengakhirannya pertelingkahan yang berjaya diraih. Perasaan dengki mendengki menjadi bahan bakar dalam memarakkan api keegoan.

Ya, ego tidak boleh dipadam tetapi boleh dikurangkan (memetik kata dari seorang sahabat saya). Andai keegoan menjadi asas perjuangan sesebuah pertubuhan, kelak tidak akan mencapai satu pandangan yang terkehadapan. Tiada sikap keterbukaan dalam menerima pandangan sesuatu pihak, sedangkan matlamat yang dijanakan sama iaitu memartabatkan sunnah, amar ma’ruf nahi mungkar, menolak bid’ah, menghancurkan khurafat dan menjadikan islam sebagai cara hidup yang syumul.

Terkadang saya sendiri hairan. Sibuknya memperkatakan perjuangan sesebuah kelompok dalam memperjuangkan islam yang tidak sama dengan pendekatan yang dilakukan oleh kelompok mereka sebagai bid’ah. Sedangkan mereka tidak sibuk pula mengatakan hukum berhukum dengan sekular sebagai bid’ah. Tidak pula berusaha memperjuangkan hukum hudud yang telah diperkenalkan oleh Rasulullah saw dalam pentadbiran baginda, padahal jelas lagikan bersuluh ianya merupakan ‘law’ yang digunapakai oleh Rasulullah saw semasa pemerintahan baginda.

Malah yang paling menghairankan, sampaikan ada yang beranggapan bahawa ahli bid’ah itu lebih berdosa berbanding mereka yang lakukan maksiat. Hujah mereka kerana ahli maksiat melakukan dosa tersebut dalam keadaan sedar dan mengetahui bahawa ianya adalah berdosa, sedangkan ahli bid’ah ini melakukan dosa dalam keadaan mereka tidak menyedarinya dan menyangka ianya adalah satu amalan yang diterima Allah, maka mereka akan terus tersesat dalam lamunan mereka tanpa berpijak pada bumi yang nyata.

Ternyata mereka terlepas pandang pada firman Allah swt yang bermaksud :

“Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang-orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilan, yang kemudian mereka bertaubat dengan segera, maka mereka itulah yang diterima Allah taubatnya; dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Dan tidaklah taubat itu diterima Allah dari orang-orang yang mengerjakan kejahatan (yang) hingga apabila datang ajal kepada seseorang di antara mereka, (barulah) ia mengatakan : "Sesungguhnya saya bertaubat sekarang." Dan tidak (pula diterima taubat) orang-orang yang mati sedang mereka di dalam kekafiran. Bagi orang-orang itu telah Kami sediakan siksa yang pedih.”

Surah An-Nisa’ ayat 17 dan 18.

Bukannya saya berpandangan sebegini kerana memusuhi sesetengah pihak atau mengatakan bahawa hanya pandangan saya sahajalah yang betul dan diterima pakai atau mendapat jaminan oleh Allah swt. Tidak. Malah andai saya berprasangka sedemikian maka saya telah melanggar adab sebagai seorang penuntut ilmu. Tidak mengambil kira pandangan orang lain yang ternyata mempunyai dalil-dalil mereka yang tersendiri.

Cuma mungkin perasaan terkilan menyebabkan terkadang kita perlu juga menyuapkan cili ke dalam mulut seseorang. Semoga dengan kepedasan tersebut dia mampu meneguk air seterusnya mengakui bahawa sepanas-panas air pun mampu menghilangkan kepedasan tersebut, bukan hanya air berbatu kosong sahaja. Malah segala jenis air yang ditambah perisa oren ataupun sirap juga mampu melegakan tekak daripada kepedasan tersebut. Yang penting ianya merupakan air minuman.

Begitu jugalah perjuangan dalam memartabatkan islam. Selama mana ianya kelompok yang mendokong kecintaan terhadap islam dan merindukan zaman kegemilangan islam di zaman Rasulullah saw, maka ianya tetap akan dapat melestarikan hasrat tersebut. Andai terdapat kelompok yang tidak meyakini konsep ini dalam memperjuangkan islam, ternyata mereka terlepas pandang pada firman Allah yang bermaksud :

“Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cobaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cobaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat..”

Surah Al-Baqarah ayat 214.

Meyakini janji Allah dalam perjuangan.

Indahnya agama Allah, setelah ditimpakan pelbagai ujian, ternyata Dia akan membalasnya dengan satu titik yang sangat-sangat dirindui oleh semua umat manusia di akhir zaman, iaitu kemenangan terhadap kesejahteraan sejagat, yakni agama Islam. Agama yang akan mengembalikan segala keamanan yang telah dirobek oleh kuku-kuku yang berkulat dan menghancurkan segala kejahilan di akhir zaman sehingga akhirnya kekuatan jemaah islam ketika itu sangat tidak terperi kuatnya. Segala yang benar akan terzahir dan segala yang palsu akan tersingkap. Undang-undang manusia sudah tidak boleh menjadi pergantungan lagi. Melainkan hukum Allah yang maha agung, pencipta keajaiban segala kejadian. Takbir bergema, memantul-mantul ke segenap ruang udara. Haiwan-haiwan makin bertambah zikirnya memuji kebesaran Allah 'Azza Wa Jalla. Kegemilangan khilafah yang diimpikan menjadi kenyataan.

Di sanalah berdirinya Imam Mahdi yang dinanti!

*Ahmad Zaki adalah Timb YDP MPP Apium Nilam Puri 09/10 juga aktif dalam bidang penulisan dan mula bertatih ke alam novelis. Untuk mengenali beliau dengan lanjut bolehlah sama-sama berkunjung ke Dunia Baru cetusan beliau.

Friday, December 11, 2009

Antara Qiadi & Jundi



*Nukilan Khairiyah binti Sulong


“hanya orang yang membaca mampu merubah dunia” :- Lord Chesterfield

Mereka berkarisma kerana kuasa hendak membuat keputusan besar bergantung pada mereka. Pemimpin dilihat seorang yang matang sekiranya berjaya membuat keputusan yang bisa tepat. Setiap keputusan memberi kesan besar kepada ahli pimpinannya.

Unsurnya berdasarkan kemahiran massa yang menakjubkan dan efektif- merujuk pada tutur bicara mereka, memberi komentar terhadap apa-apa isu yang timbul, matang dalam memberikan kata putus.

Isu sokongan orang ramai dan keterampilan seorang pemimpin penting.
Sokongan daripada ahli amat penting agar setiap gagasan idea pemimpin dapat direalisasikan dengan jayanya. Akhlaknya, ibadahnya merupakan sasaran cemerlang para pengikutnya mengambil ketokohannya sebagai asas kepimpinan.

Karisma moden menekankan unsur wawasan dalam gaya kepimpinan seorang pemimpin
Wawasan yang jelas berkenaan bagaimana mereka memandu organisasi mereka bagi jangka masa yang panjang walaupun mereka sudah tidak lagi menjadi pemimpin organisasi itu.


Cerita ringkas penuh pengajaran

“saya ini presiden awak”

A: bukankah saya sudah suruh awak supaya buat seperti ini.

B: benar, tapi ianya tidak munasabah, kami berbincang tadi, jadi macam tulah jadinya.

A: ooo... awak nak kata ianya tidak munasabah, awak tahukah saya ini “Presiden”!

Semua mata tertumpu pada perbualan mereka.

B: bukankah kamu juga kami yang lantik, siapakah yang melantik seseorang itu ketua?

Moral of the story dan muhasabah diri

Ramai yang beranggapan apabila mereka dilantik ke suatu jawatan, mereka secara automatik menjadi pemimpin. Anda boleh menyohorkan jawatan Yang diPertua, Presiden, Pengarah Yang Berhormat dan lain-lain. Itu adalah simbol kepada jawatan, tetapi seseorang belum tentu menjadi pemimpin dengan adanya jawatan-jawatan itu. Kepimpinan terletak di dalam diri seseorang itu. Membina penghormatan dan kepercayaan adalah perkara yang lebih susah untuk dibina.

Ramai yang menggunapakai ucapan Saidina Abu Bakar apabila dipilih menjadi pemimpin, katanya, “aku bukanlah orang yang layak, bahkan ada orang yang lebih layak daripadaku, tetapi kamu memilihku,maka aku akan berusaha melaksanakannya mengikut kemampuanku”- tahukah anda apa maksud ucapan ini dan apakah anda sedar bila menyebutnya?

Jawatan adalah taklifan. Jawatan adalah amanah. Jawatan adalah tarbiyyah. Jawatan bukanlah suatu perkara yang ingin direbut untuk mencari nama dan kedudukan. Sekiranya jawatan itu berupa bobrok sedemikian, maka tidaklah upaya Rasululullah mencipta qudwah terbaik kepada umatnya, Salahuddin Ayubi si anak bangsawan tawadhu’ bersama empayarnya, tidaklah Muhammad Al-Fateh si anak raja menolosori teladan kepada tenteranya menakluk Constantinople, tidaklah Tariq bin Ziyad si hamba suruhan berupaya menakluk Andalusia.



*Penulis ialah Timbalan Bendahari MPP APIUM Nilam Puri sesi 09/10

Tuesday, October 6, 2009

Budaya Ilmu vs Budaya Peperiksaan


 *nukilan Hayati Hussin


Sistem pendidikan negara kita telah dikritik oleh beberapa tokoh akademik dan pakar pendidikan dan pastinya kritikan tersebut merupakan hasil renungan,kajian dan penyelidikan mereka dan ia merupakan kritikan membina demi memperkasakan lagi sistem pendidikan negara kita.







Prof Wan Mohd Nor Wan Daud misalnya dalam bukunya bertajuk Penjelasan Budaya Ilmu telah mengupas bagaimana budaya peperiksaan telah menggantikan budaya ilmu dalam sistem pendidikan negara masa kini.
Menurut beliau :

"Budaya peperiksaan dalam sistem pendidikan negara telah menggantikan budaya ilmu.Para pelajar memang giat belajar tetapi kebanyakannya bukan untuk memahami dan mencungkil makna daripada apa yang dipelajari tetapi untuk menghafalnya cukup untuk masa dua tiga minggu tempoh peperiksaan .Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa sebilangan terbesar murid-murid tidak ingat lagi perkara-perkara yang gigih dipelajarinya sebaik sahaja peperiksaan tamat.Para guru pula memang giat mengajar tetapi penumpuannya lebih kepada untuk menghabiskan sukatan pelajaran dan mencapai kecemerlangan peperiksaan."




Prof Wan Mohd Nor Wan Daud juga mengupas tentang kritikan yang pernah dibuat oleh Professor Diraja Ungku Aziz terhadap sistem pendidikan kita yang pada pandangan beliau hanya menggalakkan penghafalan dan bukannya pemikiran dan akhirnya menyebabkan para murid lebih cenderung untuk bergantung kepada jawapan contoh, hafalan dan soalan ramalan (spotted questions) daripada memahami konsep dan teori yang berkenaan.



Apa yang diperkatakan oleh tokoh-tokoh akademik perlu diberi perhatian oleh semua pihak terutamanya generasi muda.Budaya ilmu perlu diterapkan dan niat yang tulus ikhlas menuntut ilmu perlu diperbaharui agar generasi muda tidak belajar atau menuntut ilmu sekadar untuk lulus peperiksaan, mengejar sijil, diploma atau ijazah, atau memperoleh gred, markah, ‘pointer’-‘CGPA’yang tinggi semata-mata.


Sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan semata-mata (exam oriented) juga tidak lagi relevan dan penekanan kepada aspek pemikiran atau budaya berfikir secara rasional perlu digalakkan.


Allahyarham Syeikh Muhammad Al-Ghazali pernah mengungkapkan :
‘Manusia tidak lagi dapat disebut sebagai manusia jika akalnya tidak mahu lagi berfikir’.

Para pelajar juga perlu lebih berdikari,berani berfikir dan menyuarakan pandangan peribadi disamping memiliki kriteria budaya ilmu seperti cinta ilmu dan ilmuwan, memiliki tabiat membaca, menulis, berdiskusi, menyelidik dan sebagainya.



Realiti kampus universiti masa kini




Kita pastinya tidak mahu mahasiswa di kampus-kampus universiti dihanyutkan dengan budaya hedonisme ,menebal sifat individualistik yang akhirnya memandulkan idealisme dan mematikan semangat perjuangan mahasiswa sebagai penuntut ilmu apatah lagi mahasiswa merupakan aset penting dan barisan pelapis kepimpinan negara suatu masa nanti.

Melihat realiti yang berlaku di kampus universiti sekarang,mahasiswa lebih banyak tertumpu kepada program-program berbentuk hiburan, kebudayaan dan sukan semata-mata.Konsert,pesta,festival,karnival dan sebagainya mendapat sambutan hangat daripada mahasiswa bahkan mendapat sokongan penuh dari pelbagai pihak. Malang bagi mahasiswa pencinta ilmu yang tidak dapat merasai sambutan hangat mahasiswa dan pihak atasan universiti dalam program-program berbentuk akademik,intelektual dan pemerkasaan budaya ilmu di kalangan mahasiswa.

Benar seperti yang pernah diperkatakan oleh Profesor Dato Ir Dr.Zaini Ujang(Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia) dalam siri syarahan perdana Naib Canselor,Universiti-Kreativiti-Inovasi,’’

Aspek yang menjurus kepada pembinaan minda kelas pertama dan pembudayaan ilmu seperti wacana,diskusi,’kegilaan membaca dan menulis’ dan persekitaran yang mesra intelektualisme tidak lagi menjadi trend dan aset penting .Bahkan personaliti sedemikian tidak lagi menyerlah di kampus malah nampaknya semakin pupus melawan arus masa –


*Dapatkan banyak lagi maklumat dan hasil nukilan penulis di CUMIT PRODUCTION

Monday, October 5, 2009

Ikhtilat : Jumudnya Kita

*nukilan Nur Adilah Amirudin 


Garis panduan hubungan antara lelaki dan perempuan
a-Pengiktirafan Allah terhadap kehendak manusia

زيّن للناس حب الشّهوت من النسآء والبين والقنطير المقنطرة من الذهب والفضّة والخيل المسوّمة
 والأنعم والحرث ذلك متع الحيوة الدنيا والله عنده حسن المئاب
"Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda Yang diingini nafsu, Iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda Yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan Yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali Yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)"              (Ali Imran : 14) 

Islam mengiktiraf kehendak manusia dan tidak menghalangnya, Cuma perlu disalurkan ke jalan yang betul dan tidak melampau-lampau demi kemaslahatan masyarakat.

b- Suruhan menjaga pandangan dari perkara yang haram
"Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki Yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa Yang mereka kerjakan.
dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan Yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali Yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya Dengan tudung kepala mereka….”                   (An-Nur: 30-31)

Ayat ini mengaitkan pandangan mata dengan menjaga kemaluan, menunjukkan betapa pandangan mata adalah punca yang boleh membawa kepada zina maka ia perlu dijaga. Firman Allah mafhumNya:
“dan janganlah kamu menghampiri zina, Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan Yang keji dan satu jalan Yang jahat (yang membawa kerosakan).”              (al-Isra’:32)                                                                 

c- Larangan melakukan perkara-perkara yang membawa kepada zina
Lafaz 'jangan menghampiri' (bukan jangan lakukan) dalam firman Allah di atas menunjukkan bukan sahaja zina itu haram, bahkan segala perkara yang boleh membawa kepada zina juga adalah haram. Ini dikuatkan dengan Sabda Rasulullah saw:

... العينان زناهما النظر ، والأذنان زناهما الاستماع ، واللسان زناه الكلام ، واليد زناها البطش والرجل زناها الخطا ،
 والقلب يهوى ويتمنى ، يصدق ذلك الفرج أو يكذبه [متفق عليه[

(…Zina bagi kedua mata adalah pandangan, bagi kedua telinga adalah pendengaran, bagi lidah adalah percakapan, bagi tangan adalah tindakan (kea rah zina), bagi kaki adalah langkah (ke tempat zina) dan (zina bagi) hati adalah dengan berkeinginan syahwat dan berkhayal, kesemua ini boleh jadi disusuli dengan zina pada kemaluan atau pun tidak.)                                                             (Hadith Muttafaqun 'Alaih)

d- Apa yang dilakukan jika terlihat wajah wanita?
وعن جرير بن عبدالله قال: { سألت رسول الله صلى عليه وسلم عن نظرة الفجاءة فأمرني
أن أصرف بصري } [رواه مسلم].
 وعند أبي داود أنه قال له. { اصرف بصرك {.

“Daripada Jabir bin Abdullah ra. Berkata: Aku telah bertanya kepada Rasulullah saw mengenai pandangan terhadap wanita secara mengejut (tidak sengaja), maka baginda saw menyuruh aku supaya memalingkan pandanganku (HR Muslim) dalam riwayat Abu Dawud, Rasulullah saw berkata kepada Jarir ra. : "Palingkanlah pandanganmu".”
As-syeikh Ibn 'Uthaimin rh dalam Syarah Riyadus-Solihinnya menjelaskan: "Asal hukum memandang kepada perempuan yang bukan mahram dalam keadaan tidak ada keperluan yang syarii adalah haram, melainkan jika tidak sengaja maka dimaafkan. (dengan syarat hendaklah dia memalingkan pandangannya dengan segera seperti dalam hadith di atas)
Bagi perempuan pula, tidaklah haram memandang lelaki sekalipun yang bukan mahram selagi mana tidak merasa seronok melihat lelaki tersebut atau menimbulkan syahwat."       (Syarh Hadith ke 1625)                                           
Jika terlihat pun disuruh memalingkan pandangan, bagaimana pula jika sengaja melihat?

e-Larangan melunakkan suara bagi wanita
“ Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan Yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. oleh itu janganlah kamu berkata-kata Dengan lembut manja (semasa bercakap Dengan lelaki asing) kerana Yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang Yang ada penyakit Dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah Dengan kata-kata Yang baik (sesuai dan sopan)”          (Al-Ahzab:32)
Dr. Wahbah az-Zuhaili menjelaskan dalam Tafsir al-Munir bahawa semua perintah yang diturunkan kepada para Isteri Nabi ra adalah juga merupakan perintah terhadap semua mukminat.

f- Pandangan Islam terhadap muzahamah (bersesak-sesak) sesama bukan mahram
قال رسول الله (ص): "لأن يحزم رجل خنزيرا متلطخا بطين او حمأة , خير له من أن يحزم منكبه منكب امرأة لا تحل له"
Rasulullah saw telah bersabda: "Sesungguhnya adalah lebih baik bagi seorang lelaki bersesak-sesak dengan babi yang berlumpur daripada bersesak-sesak dengan perempuan yang tidak halal baginya."                   (HR At-Tabrani)

g- Berdua-duaan
قال رسول الله (ص): "لا يخلونّ أحدكم مع امرأة الا مع ذي محرم"  – متفق عليه-
Sabda Rasulullah saw: "Janganlah kamu berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan dengan adanya mahram."                                   (Hadith Muttafaqun 'Alaih)
                                                                                      
Sekadar untuk renungan bersama adakah benar-benar kita mengamalkan ikhtilat dengan sepenuhnya sepertimana yang termaktub di dalam al-Quran atau kita adalah sebahagian dari golongan yang dimurka oleh Allah iaitu golongan yang mengamalkan sebahagian dari perintahNya dan meninggalkan sebahagianNya?Renung-renungkanlah.



*Penulis adalah Timb. Pengerusi JKP Sukan & Rekreasi JTK APIUM NP 09/10. Penuntut tahun dua Asasi Usuluddin.

Sunday, October 4, 2009

INFLUENZA A, GEMPA BUMI : PERINGATAN BUAT YANG LALAI DAN ALPA!

*Nukilan Norhayati Mohd Husin


Belum habis kita dikejutkan dengan wabak selsema babi atau lebih dikenali sebagai INFLUENZA A, kini DUNIA ASIA GEMPAR dengan kejadian GEMPA BUMI yang berlaku di Sumatera Barat, Indonesia.

Pun begitu, tiada kematian baru akibat influenza A (H1N1) didaftarkansejak 19 September lepas dengan angka kematian kekal 77 orang, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican.

Beliau berkata, bagaimanapun 147 pesakit baru gejala influenza-like illness (ILI) dimasukkan ke hospital hari ini menjadikan jumlah semasa kes ILI yang dirawat di seluruh negara kini menjangkau 890 orang, iaitu di 82 buah hospital termasuk sembilan hospital swasta. 
-30 SEPT 2009, BERNAMA

Sebaliknya pula yang berlaku di Padang, Indonesia : “Hampir 80 peratus rumah di kawasan kampung Sungai Geringgil musnah disebabkan gempa bumi yang sangat kuat, sekurang-kurangnya 75 orang terbunuh. Wilayah Sumatera Barat, Indonesia digegarkan gempa berukuran 7.9 skala Richter menyebabkan sekurang-kurangnya 75 orang terbunuh. Gegaran memusnahkan bangunan, ratusan rumah, hotel, jambatan dan menyebabkan kebakaran di bandar Padang. Pada masa sama, ribut merosakkan lebih 100 buah rumah masing-masing di pesisir pantai Kelantan dan Terengganu.

Apapun kita harus kembali kepada yang mencipta ribut itu, dialah jugayang mencipta kita. Gerun hati saya apabila terbaca beberapa artikel keluhan mengatakan “Kalaulah ALLAH sayang kita, kenapa dia turunkan selsema Babi, kenapa ALLAH turunkan gempa bumi kepada kita!”

Beginilah para sahabat, sebagai orang islam, kita masih ada senjata!Iaitu doa! Jangan lupa gunakan senjata kita Selain daripada langkah berjaga-jaga. Carilah waktu-waktu yang mustajab untuk berdoa moga Allah selamatkan kita daripada semua ini.

Kita renungkan sabda Rasullullah S.A.W :

" Sekiranya berlaku suatu perbuatan keji (faahshah) di suatu tempat atau negeri, yang dilakukan secara terang-terangan, maka Allah akan mencampakkan penyakit secara meluas yang kaum-kaum sebelum mereka tidak pernah mengenali penyakit itu"
Hadis riwayah Ibnu Majah dan Al Bazzaz.

Hadis Rasulullah S.A.W, Ummu Salamah R.A berkata :

"Aku mendengar Rasulullah bersabda apabila kemaksiatan dilakukan berterang-terangan di kalangan umat manusia maka Allah akan menurunkan bala besar ke atas mereka secara menyeluruh" Kemudian aku bertanya lagi "Ya Rasulullah, apakah ketika itu tiada umatmu yang baik?" Rasulullah menjawab; "Ya memang ada". "Aku bertanya lagi "Apa terjadi dengan mereka?" Rasulullah menjawab " mereka juga akan terkena apa yang manusia kena. Kalau mereka mati ketika itu Allah akan meredhai mereka"
Hadis riwayat Ah-mad bin Hambal (Hadis Sahih).

Firman ALLAH lagi :

“ Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia timbulnya demikian kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan supaya mereka kembali insaf dan bertaubat” (Surah ar-Rum : ayat 41.)

Firman Allah dalam surah al-An'am ayat 42-45 :

"seandainya apabila turunnya bala kami ke atas mereka lalu segera mereka melutut kepada kami, bergunalah kami. Akan tetapi, malangnya hati mereka sangat keras kerana sentiasa ditipu oleh syaitan dengan menggambarkan seolah-olah mereka sudah begitu baik. Maka apabila mereka lupa apa yang diperingatkan itu, Allah beri kesempatan kepada mereka untuk bergembira seketika dengan nikmat yang melimpah ruah lalu tiba-tiba kami turunkan secara mengejut bencana kami, maka mereka menerima kesengseraan yang berpanjangan. Demikian balasan Allah kepada orang-orang zalim dan segala puji bagi Allah Tuhan sekelian Alam.

Wallahualam.





*penulis merupakan Timb. Pengerusi JKP Kenegaraan, Etika & Rohani JTK APIUM Kolej Nilam Puri 09/10. Penuntut tahun dua APIUM NP dan menganbil jurusan  asasi Pend. Islam. Pakar dan meminati bidang multimedia dan perkomputeran. Juga terkenal dengan Prof HH dan aktif bersama blognya, mahasiswa marketable.
Newer Posts Older Posts Home

Pages

al-Wakt

FOLLOWERS

ABOUT APIUM

My Photo
NILAM PURI, KOTA BHARU, Malaysia

DARI MEJA EDITOR

Meja Editor apiumnp.blogspot mengalu-alukan kepada pembaca untuk menghantar artikel atau sebarang berita untuk disiarkan di laman ini. Sebarang cadangan, penambahbaikan dan artikel bolehlah dihantar ke mppumnp@gmail.com.

Terima Kasih.

SURAT MENYURAT

AKADEMI PENGAJIAN ISLAM UNIVERSITI MALAYA NILAM PURI , 16010 KOTA BHARU ,
KELANTAN DARUL NAIM
http://apiumnp.um.edu.my
email : nilampuri@um.edu.my
tel : 09-7126508 begin_of_the_skype_highlighting 09-7126508 end_of_the_skype_highlighting
fax : 09-7126580

MISI APIUM

BERUSAHA UNTUK MENJADI PUSAT PENGAJIAN TINGGI ISLAM KONTEMPORARI CEMERLANG DI NEGARA DAN SERANTAU,BERGIAT DALAM PENYELIDIKAN , PENGAJARAN DAN PERUNDINGAN.

VISI APIUM

UNTUK MEMAJUKAN BIDANG PENGAJIAN ISLAM BERASASKAN TRADISI KEILMUAN ISLAM
DAN KAEDAH MODEN YANG SAINTIFIK
MELALUI PENYELIDIKAN DAN PENDIDIKAN
BERKUALITI UNTUK NEGARA
DAN KEMANUSIAAN.

DISKUSI INTELEK

POPULAR POST

 

LABELS

PENGUNJUNG

Labels

 

Another Templates

Templates by Nano Yulianto | CSS3 by David Walsh | Powered by {N}Code & Blogger